Muhamaad Razis Ismail


TIADA petunjuk baru yang diperoleh pasukan penyelamat dalam usaha mengesan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun yang hilang selepas terjatuh ke dalam Sungai Kelantan di Kampung Pak Limah, Salor, Kota Bharu, Rabu lalu.

Dalam kejadian jam 4.10 petang itu, mangsa Alif Aiman Mohd Adli, 12, tergelincir ketika membasuh kaki.

Selepas lima hari operasi SAR dijalankan, mangsa masih belum ditemui.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kelantan Penguasa Bomba Kanan II Syobirin Abd Kadir berkata, pihaknya masih giat menjalankan operasi SAR kira-kira 20 kilometer dari Kuala Besar ke Tambatan Diraja di sini.

Katanya, pihaknya turut menjalankan pemeriksaan di tebing sungai dan pulau kecil berhampiran.

"Pencarian juga dijalankan di sekitar mangsa terjatuh pada Rabu lalu.

"Bagaimanapun, sehingga kini, tiada petunjuk baru diperoleh dan operasi SAR akan diteruskan," katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, semalam.

Harian Metro pada 4 Januari lalu melaporkan kanak-kanak lelaki dipercayai lemas selepas tergelincir ketika membasuh kaki di Sungai Kelantan.

Sebelum itu, mangsa bersama empat rakannya ke kawasan tebing sungai itu untuk bermain dan membaling batu ke dalam sungai.

Namun kanak-kanak itu dikatakan mahu membasuh kakinya tetapi terjatuh dan dihanyutkan arus deras.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2018 @ 7:58 PM