ANGGOTA penyelamat mencari mangsa yang dikhuatiri lemas di Sungai Kelantan, di Kampung Pak Limah, Salor. FOTO Siti Nor Hidayatidayu Razali
ANGGOTA penyelamat mencari mangsa yang dikhuatiri lemas di Sungai Kelantan, di Kampung Pak Limah, Salor. FOTO Siti Nor Hidayatidayu Razali
Siti Nor Hidayatidayu Razali


OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang dikhuatiri lemas di Sungai Kelantan di Kampung Pak Limah, Salor, Kota Bharu, masuk hari ketujuh, hari ini.

Dalam kejadian 4.10 petang, Rabu lalu, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Pasir Mas, Alif Aiman Mohd Adli, 12, bersama empat rakannya ke sungai itu sebelum mangsa tergelincir ketika turun membasuh kaki.

Ketua Zon Kota Bharu, Penguasa Bomba Kanan II Syobirin Abd Kadir berkata, operasi ditumpukan di Sungai Kelantan di Jambatan Salor hingga ke Kuala Besar, di sini.

Katanya, operasi hari ini melebihi 20 kilometer dan pihak penyelamat akan berusaha sehingga mangsa ditemui.

"Seramai 45 anggota termasuk pegawai yang menyertai operasi ini dengan menggunakan 11 bot penyelamat.

"Jika tiada petunjuk baru, operasi akan dihentikan pada 6 petang hari ini," katanya ketika dihubungi, di sini.

Sementara itu, ayah mangsa, Mohd Adli Mohd Noor, 34, berkata, dia dan isteri, Siti Nurul Ain Razali, 35, tidak putus berusaha dan berharap anak mereka ditemui.

"Gerak hati mengatakan anak akan ditemui dan kami sendiri turut mencarinya bersama-sama anggota penyelamat.

"Sebagai usaha, saya terjun ke sungai dan mencari di dasar," katanya ketika ditemui di lokasi, hari ini.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, Alif Aiman dikhuatiri lemas di Sungai Kelantan di Kampung Pak Limah selepas tergelincir ketika sedang membasuh kaki kejadian Rabu lalu.

Berita berkaitan:

Alif Aiman belum dijumpai

Unit K9 bantu cari Alif

Alif hilang di Sungai Kelantan: Tiada petunjuk baru

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2018 @ 3:38 PM