MOHD Adli dan isterinya, Siti Nurul Ain (tengah)  turut menyertai operasi SAR.
MOHD Adli dan isterinya, Siti Nurul Ain (tengah) turut menyertai operasi SAR.
Siti Nor Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Ibu bapa kanak-kanak lelaki yang hilang di Sungai Kelantan dekat Kampung Pak Limah, Salor, di sini, tiga hari lalu, turut menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) selama dua jam, semalam.

Mereka menyertai operasi menggunakan bot penyelamat susulan kanak-kanak itu belum ditemui sehingga kini.

Siti Nurul Ain Razali, 35, dan suaminya, Mohd Adli Mohd Noor, 34, nekad menyertai SAR itu demi mencari anak sulung mereka, Alif Aiman Mohd Adli, 12.

Alif Aiman hilang selepas tergelincir di sungai itu jam 4.10 petang, Rabu lalu ketika mahu membasuh kaki.

Siti Nurul Ain berkata, dia sangat berharap anaknya ditemui segera walau dalam keadaan apa sekalipun.

“Mengambil berkat Jumaat yang juga penghulu segala hari, saya berdoa dapat melihat jasad anak di depan mata. Kami mahu dia ditemui segera.

“Sejak kehilangannya, saya dan suami berada di sini (tempat kejadian) 24 jam dan turut menyertai operasi kerana mahu sama-sama mencarinya,” katanya, semalam.

Ibu tiga anak itu mengesan perubahan Alif Aiman yang juga murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Seberang Pasir Mas sejak seminggu lalu.

Katanya, Alif Aiman yang dulu ceria berubah menjadi pendiam dan perubahan turut dirasai guru sekolahnya.

“Kehilangannya memberi kesan kepada kami kerana dia anak taat kepada agama serta membawa keceriaan dalam keluarga kami.

“Dia permata sulung kami yang saya harap membesar dengan baik dan menjadi contoh kepada dua adiknya,” katanya.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kelantan Penguasa Bomba Kanan II Syobirin Abd Kadir berkata, operasi pada hari ketiga disertai 114 anggota termasuk pegawai serta dibantu unit anjing pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Katanya, SAR turut mendapat bantuan daripada Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

“Kami mulakan operasi pada jam 9 pagi dan pencarian diperluaskan dalam jarak lima kilometer dari lokasi mangsa jatuh,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Deputi Superitendan Ibrahim Sharif berkata, pihaknya membuka siasatan sebagai orang hilang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 January 2018 @ 8:36 AM