Zeb Gulab dituduh rasuah anggota polis RM200 kerana tiada lesen memandu. FOTO Syafiq Ambak.
Zeb Gulab dituduh rasuah anggota polis RM200 kerana tiada lesen memandu. FOTO Syafiq Ambak.
Zatul Iffah Zolkiply


LELAKI warga Pakistan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini, atas tuduhan memberi rasuah RM200 kepada seorang anggota polis agar dilepaskan kerana tidak memiliki lesen memandu.

Tertuduh, Zeb Gulab, 24, didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang dibacakan di depan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memberi suapan RM200 kepada seorang ejen kerajaan Malaysia iaitu Lans Koperal Sebri Shukri di Mukim Kijal, Kemaman, 8.30 malam, 8 Januari lalu.

Suapan itu sebagai dorongan untuk tidak dikenakan tindakan kerana melakukan kesalahan Seksyen 58(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu gagal mengemukakan dokumen lesen memandu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan sebelum mahkamah menetapkan 31 Januari ini sebagai tarikh sebutan semula kes untuk penyediaan jurubahasa.

Tiada sebarang jaminan ditawarkan kepada tertuduh.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Hanafi Abd Rahim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, suspek yang bekerja di sebuah ladang ditahan selepas memberi rasuah RM200 kepada seorang anggota polis yang menjalankan tugas rondaan di Ayer Puteh, Kemaman.

Ia sebagai balasan supaya anggota polis itu melepaskannya kerana tidak memiliki lesen memandu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2018 @ 11:39 AM