MUTHUSAMY yang mengaku bersalah diiringi dua anggota SPRM ketika dibawa ke  Mahkamah Sesyen Kuantan, semalam.
MUTHUSAMY yang mengaku bersalah diiringi dua anggota SPRM ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuantan, semalam.
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

Kuantan: Tindakan pemilik bas merasuah pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membawa padah apabila dihukum penjara sehari dan didenda sebanyak RM11,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Tertuduh, R Muthusamy, 66, dari Sungai Marong, Bentong sebelum itu mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Lelaki berkenaan dituduh memberi suapan kepada Ketua Pembantu Penguat kuasa JPJ, Shahrul Shahrizal Mt Jawahir sebagai dorongan untuk melepaskan bas miliknya bernombor pendaftaran PATRIOT 9772 yang dipandu oleh pekerjanya yang tidak mempunyai lesen memandu.

Tertuduh melakukan kesalahan itu di Stesen Penguatkuasaan JPJ Karak, Bentong pada jam 2.45 petang, 18 Februari lalu.

Muthusamy didakwa mengikut Seksyen 17(6) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohamad Fadhly Mohd Zamri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam rayuannya, tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dan mengambil kira keadaannya yang sudah tidak bekerja dan hanya bergantung kepada pendapatan empat anaknya.

Mohamad Fadhly pula meminta hukuman setimpal dikenakan kerana pada hari kejadian tertuduh tetap berdegil memberi suapan itu walaupun sudah diberi amaran oleh pegawai JPJ berkenaan.

Dazuki menjatuhkan hukuman penjara dan denda itu terhadap tertuduh serta turut memerintahkannya menjalani hukuman penjara tambahan selama lima bulan jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2018 @ 8:10 AM