Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Buruh ladang dijatuhi hukuman penjara 14 hari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan memberi rasuah sebanyak RM200 kepada seorang anggota polis bagi mengelak ditahan, bulan lalu.

Hakim Dazuki Ali membuat keputusan itu selepas tertuduh Radzali Bahari, 41, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memberi satu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM200 kepada seorang Lans Koperal yang bertugas di Balai Polis Ayer Puteh dalam daerah Kemaman pada 4 petang pada 12 Julai lalu.

RADZALI dijatuhi hukuman penjara 14 hari dan denda RM10,000 di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan memberi rasuah RM200 kepada seorang anggota polis. FOTO Ghazali Kori
RADZALI dijatuhi hukuman penjara 14 hari dan denda RM10,000 di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan memberi rasuah RM200 kepada seorang anggota polis. FOTO Ghazali Kori

Suapan itu sebagai dorongan supaya dia tidak ditahan untuk dijalankan saringan ujian air kencing.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Farah Yasmin Salleh, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 14 hari bermula daripada tarikh sabitan dan denda RM10,000 atau 10 bulan penjara jika gagal menjelaskan denda berkenaan, selain mengarahkan wang RM200 dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Ogos 2022 @ 1:30 PM