Syobirin   (kanan) bersama anggota penyelamat dalam operasi mencari dan menyelamat Alif Aiman.
Syobirin (kanan) bersama anggota penyelamat dalam operasi mencari dan menyelamat Alif Aiman.
Siti Nor Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: “Saya dan isteri tidak pernah berputus berusaha, malah kami mengadakan kenduri tahlil semalam (kelmarin). Gerak hati kami mengatakan jasadnya akan ditemui.

“Kami sendiri turun mencarinya dan mahu jasadnya ditemui segera,” kata Mohd Adli Mohd Noor, 34, bapa kepada Alif Aiman Mohd Adli, 12, yang hilang sejak tujuh hari lalu selepas dikhuatiri lemas di Sungai Kelantan dekat Kampung Pak Limah, Salor.

Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Pasir Mas bersama empat rakannya dikatakan pergi ke sungai itu Rabu lalu sebelum mangsa tergelincir ketika turun ke tebing untuk membasuh kaki.

Mohd Adli berkata, dia dan isteri turut mengikuti operasi mencari dan menyelamat (SAR) anaknya itu hingga hari terakhir, semalam.

Selain itu, pelbagai pihak menawarkan bantuan termasuk beberapa bomoh dalam usaha mencari petunjuk anak sulung daripada tiga beradik itu.

“Saya terima bantuan dihulurkan sebagai ikhtiar untuk mencari anak dan semua pihak memberi kerjasama serta komitmen tinggi terutama pasukan penyelamat.

“Kami amat puas hati dengan usaha mereka dan berdoa semoga jasad anak ditemui dalam masa terdekat meskipun operasi sudah dihentikan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Kota Bharu Syobirin Abd Kadir berkata, operasi hari ketujuh menumpukan di Sungai Kelantan di Jambatan Salor hingga Kuala Besar.

Katanya, operasi ditutup petang semalam kerana tiada petunjuk baru.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2018 @ 3:38 AM