ROHANI (dua dari kanan) melancarkan laman Tahun Memperkasa Wanita 2018 di laman sosial Facebook sambil diperhatikan Azizah (empat dari kiri) dan Suriani (kanan) di Putrajaya, hari ini. FOTO Nursyahirah Marzuki
ROHANI (dua dari kanan) melancarkan laman Tahun Memperkasa Wanita 2018 di laman sosial Facebook sambil diperhatikan Azizah (empat dari kiri) dan Suriani (kanan) di Putrajaya, hari ini. FOTO Nursyahirah Marzuki
Nursyahirah Marzuki


KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menjalinkan kerjasama erat dengan pelbagai pihak bagi memastikan lima kluster Tahun Memperkasakan Wanita dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Menterinya Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, pihaknya tidak memberikan sebarang peruntukan khas kepada mana-mana jabatan atau agensi di bawah kementerian itu bagi melaksanakan program memperkasakan wanita.

"Kita tidak mempunyai bajet spesifik, namun akan bekerjasama dengan semua pihak seperti kementerian dan agensi berkaitan selain sektor swasta termasuk badan bukan kerajaan (NGO) serta aktivis untuk menonjolkan peranan wanita dalam program mereka.

"Sebagai contoh, kluster kesihatan akan diketuai oleh Kementerian Kesihatan dan dibantu badan lain untuk menjalankan saringan kesihatan wanita seperti kanser payu dara menerusi program sedia ada," katanya pada sidang media pada Majlis Perhimpunan Bulanan KPWKM di Putrajaya, hari ini.

Hadir sama, Timbalannya Datuk Azizah Mohd Dun dan Ketua Setiausaha kementerian Datuk Suriani Ahmad.

Pada majlis itu, Rohani turut melancarkan laman sosial Facebook (FB) Tahun Memperkasa Wanita 2018 bagi mendapatkan maklum balas, pandangan atau cadangan orang ramai mengenai program untuk memperkasa wanita.

Beliau berkata, melalui laman sosial itu, pihaknya dapat mengumpulkan maklum balas mengenai program berteraskan lima kluster Tahun Memperkasa Wanita 2018.

Menurutnya, pelbagai sesi membabitkan rakan kongsi strategik dan personaliti turut diadakan secara berterusan bagi mendapatkan sokongan semua sektor dalam memperkasa wanita di negara ini.

"Kita akan mengaturkan pelbagai program untuk menjayakan Tahun Memperkasa Wanita mengikut lima kluster iaitu Kluster Wanita dan Kesihatan (Gaya Hidup, Kecantikan dan Sukan), Kluster Wanita dan Keselamatan, Kluster Wanita dan Ekonomi, Kluster Wanita dan Pendidikan (Latihan dan Pembangunan Kapasiti) dan Kluster Wanita dan Budaya (Kesenian dan Media).

"Bagi merealisasikan hasrat ini, dianggarkan sebanyak 345 program terkumpul yang direkodkan KPWKM melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) untuk dilaksanakan sepanjang tahun ini dalam usaha memperkasakan wanita di peringkat global,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2018 @ 3:27 PM