DARI kiri, Vivy, Dr Ahmad Zahid, Najib, Rohani dan Tengku Datin Paduka Setia Zatashah pada majlis Pelancaran Logo dan Branding TMW18.
DARI kiri, Vivy, Dr Ahmad Zahid, Najib, Rohani dan Tengku Datin Paduka Setia Zatashah pada majlis Pelancaran Logo dan Branding TMW18.
Hayati Ibrahim

Putrajaya: Usahawan e-dagang dan pemilik Fashion Valet Datin Vivy Yusuf yang dilantik sebagai Ikon Tahun Memperkasa Wanita 2018 (TMW18) berhasrat membantu wanita di negara ini mencapai impian masing-masing.

Vivy berkata, beliau sangat bertuah kerana diberi pengiktirafan dilantik sebagai ikon dan akan melakukan apa yang mampu untuk membantu wanita bukan saja yang berada di sekelilingnya, tetapi mereka yang tidak pernah dikenali.

“Saya percaya setiap wanita ada keistimewaan, kekuatan dan kelemahan mereka sendiri, disebabkan itu kita perlu belajar antara satu sama lain.

“Saya sendiri mempunyai impian yang sangat besar, pada masa sama saya juga ingin pastikan semua orang boleh berjaya dan mencapai impian mereka,” katanya ketika ditemui selepas majlis Pelancaran Logo dan Branding Tahun Memperkasa Wanita 2018 (TMW18) di sini, semalam.

Majlis pelancaran disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Karim, barisan menteri Kabinet dan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Vivy berkata, beliau dimaklumkan mengenai aktiviti atau program yang perlu dilaksanakan sepanjang tahun ini dan mengakui sangat teruja untuk mengikutinya.

“Saya rasa, 2018 adalah tahun yang sangat baik untuk wanita,” katanya.

Sementara Puteri Diraja Selangor, Tengku Datin Paduka Setia Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkata, beliau mempunyai beberapa perancangan untuk dikongsikan dengan kementerian untuk memperkasakan wanita terutama dalam bidang pendidikan, memperluaskan kerjaya, kesihatan dan kecergasan.

“Perkara paling penting adalah pembangunan kerjaya terutama wanita muda untuk memperluaskan kerjaya kerana mereka mampu melakukan pelbagai tugas pada satu masa.

“Pada masa sama, kerajaan banyak membantu wanita di negara ini, tetapi masih banyak yang boleh dilakukan untuk memperkasa mereka pada masa depan,”katanya.

Selain Tengku Datin Paduka Setia Zatashah dan Vivy, selebriti terkenal serta ahli perniagaan berjaya Noor Neelofa Mohd Noor atau Neelofa turut dilantik sebagai Ikon TMW18.

Sementara itu, Rohani berkata, Wanita Gemilang dipilih sebagai slogan TMW18 bertepatan dengan hasrat kementerian untuk memastikan inklusiviti terhadap wanita selain berdaya saing di peringkat global.

“Bertepatan dengan TMW18, potensi wanita Malaysia seharusnya dapat digilap dan berada pada kedudukan yang tiada garis pemisah gender, sekali gus menyerlahkan pembabitan mereka merentasi segenap sektor.

“Saya berharap TMW18 mendapat sokongan padu dan menggalakkan pembabitan daripada semua agensi, badan bukan kerajaan (NGO) dan setiap wanita dapat menjadikan tahun ini sebagai tahun yang paling gemilang,” katanya.

Sementara itu, logo TMW18 berbentuk bunga ros melambangkan ciri kewanitaan yang terbentuk daripada lima bulatan mewakili lima kluster iaitu ekonomi, pendidikan, keselamatan, kesihatan dan kebudayaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2018 @ 3:52 AM