RINA ketika sidang media selepas majlis pelancaran 'World Women Leadership Summit 2023'. FOTO BERNAMA
RINA ketika sidang media selepas majlis pelancaran 'World Women Leadership Summit 2023'. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berharap terdapat peningkatan peruntukan sekurang-kurangnya 30 peratus bagi kementerian itu menerusi Belanjawan 2023, kata Menterinya Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Beliau berkata, ini kerana bagi Belanjawan 2023, negara sedang berada dalam fasa pemulihan ekonomi, justeru KPWKM perlu diberi ruang terutama bagi usaha memperkasa golongan wanita dalam pelbagai bidang.

"Kita harap ada peningkatan (Bajet 2023 untuk KPWKM). Memang, saya gesa setiap kali jumpa Perdana Menteri dan Menteri Kewangan mengenai bajet ini kerana jika diberi peluang saksama kepada wanita maka sekali gus dapat membantu keluarga mereka serta ekonomi negara.

"Malah ada menurut kajian dibuat mendapati sekiranya ada banyak penglibatan wanita (dalam sektor ekonomi) turut akan dapat meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)," katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis prapelancaran Sidang Kemuncak Kepemimpinan Wanita Dunia 2023 (WWLS 2023), di sini hari ini.

Pada Bajet 2022, KPWKM menerima peruntukan sebanyak RM2.682 bilion dengan peningkatan 4.56 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Selain itu, Rina berkata, antara cadangan yang dibawa kepada kerajaan adalah untuk memperkasa Rang Undang-Undang Antigangguan Seksual 2021 (AGS 2021) dengan aspek pelaksanaannya dapat diadakan secepat mungkin.

"…dan ia juga bergantung kepada peruntukan bajet dan sebagainya," katanya dan menambah kementeriannya juga bercadang untuk meneruskan program Wanita Bangkit@KPWKM menerusi bajet berkenaan.

Beliau turut berharap supaya usaha memperkasa wanita menerusi Bajet 2023 bukan sahaja dipertingkat menerusi KPWKM tetapi juga kementerian lain yang juga mahu membantu golongan itu dengan program berkaitan wanita.

Bajet 2023 akan dibentang 7 Oktober ini.

Sementara itu, mengulas WWLS 2023 yang akan berlangsung pada 2 dan 3 Mac tahun depan, Rina berkata, program anjuran KPWKM bersama Women Leadership Foundation (WLF) itu merupakan platform untuk menyatukan para pemimpin wanita dari seluruh dunia, buat julung kalinya.

Beliau berkata, persidangan yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu, akan membincangkan peranan dan kepimpinan wanita dalam isu kesihatan, sains dan teknologi, pendidikan, perniagaan, kewangan, pentadbiran dan alam sekitar.

"Bertemakan 'New Norms, Fresh Hopes, Big Dreams' ia bertepatan dengan fokus negara dan selari dengan hasrat Keluarga Malaysia dalam menunjukkan semangat serta agenda untuk wanita bangkit selepas pandemik Covid-19, khususnya memartabatkan peranan wanita dalam menerajui kepimpinan keluarga dan juga dalam komuniti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2022 @ 3:10 PM