Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin ketika di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini. FOTO Muhammad Apendy Issahak
Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin ketika di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini. FOTO Muhammad Apendy Issahak
Muhammad Apendy Issahak


PEREKA grafik Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin, 40, diarah membela diri oleh Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini bagi pertuduhan memulakan penghantaran komunikasi palsu karikatur badut menyerupai pemimpin negara melalui Facebooknya pada Februari 2016.

Keputusan dibuat Hakim Norashima Khalid selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh pada akhir kes pendakwaan.

Tertuduh kemudian diberi pilihan sama ada berdiam diri, memberi keterangan tanpa sumpah di luar kandang saksi atau memberi keterangan secara bersumpah dalam kandang saksi.

Tertuduh yang diwakili Syahredzan Johan memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dalam kandang saksi.

Kes kemudian diteruskan dengan perbicaraan terhadap Mohd Fahmi Reza dan pihak pendakwaan diwakili Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Nazrul Nizam Zameri.

Tertuduh pada 10 Jun 2016 didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh mengikut Seksyen 233(1)(a), Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Dia didakwa memulakan penghantaran komunikasi palsu karikatur badut menyerupai pemimpin negara pada 8 Februari 2016, jam 12.31 tengah hari menggunakan perkhidmatan Facebook secara sedar dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Perkara itu dibaca Sheikh Ahmad Raffie Sheikh Abd Rahman pada jam 2.40 petang, 8 Februari 2016.

Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin ketika itu membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin.

Pada 6 Jun 2016, tertuduh turut didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengikut seksyen sama kerana memuat naik imej karikatur pemimpin negara di laman sosial Instagram miliknya dengan niat menyakitkan hati pada 31 Januari 2016.

Dia dikenakan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin untuk kes berkenaan selepas mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2018 @ 3:03 PM