Muhammad Apendy Issahak


Ipoh: Pereka grafik, Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana memulakan penghantaran komunikasi palsu karikatur badut menyerupai pemimpin negara melalui Facebooknya pada Februari lalu.

Mohd Fahmi Reza, 39, didakwa melakukan kesalahan itu pada 8 Februari lalu pada 12.31 tengah hari menggunakan perkhidmatan Facebook secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Perkara itu telah dibaca oleh Sheikh Ahmad Raffie Sheikh Abd Rahman Seraya Sdn Bhd, Batu 3 Jelapang, di sini pada jam 2.40 petang, 8 Februari lalu.

Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 233(1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh diwakili peguam Melissa Sasidaran bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Pertuduhan dijalankan Ketua Pendakwaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Mohd Sophian Zakaria yang kemudian meminta mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Melissa kemudian memohon mahkamah mengenakan jaminan RM2,000 kerana tertuduh tidak mempunyai pendapatan tetap.

Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin sebelum menetapkan 27 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Pada Isnin lalu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Mohd Fahmi Reza juga didakwa mengikut Seksyen sama kerana memuat naik imej karikatur pemimpin negara di laman sosial Instagram miliknya dengan niat menyakitkan hati pada 31 Januari lalu.

Dia kemudian dikenakan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin selepas mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

MOHD FAHMI REZA didakwa memulakan penghantaran komunikasi palsu bertujuan menyakitkan hati orang. FOTO Yahya Zain

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Jun 2016 @ 11:24 AM