MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur memerintahkan Agus Rizal (kiri) membela diri atas pertuduhan mengiklankan perkhidmatan pakej haji furada tanpa lesen pengelola jemaah haji yang sah daripada Lembaga Tabung Haji, dua tahun lepas. FOTO BERNAMA
MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur memerintahkan Agus Rizal (kiri) membela diri atas pertuduhan mengiklankan perkhidmatan pakej haji furada tanpa lesen pengelola jemaah haji yang sah daripada Lembaga Tabung Haji, dua tahun lepas. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini memerintahkan seorang pengarah syarikat agensi pelancongan membela diri atas pertuduhan mengiklankan perkhidmatan pakej haji furada tanpa lesen pengelola jemaah haji yang sah daripada Lembaga Tabung Haji, dua tahun lalu.

Hakim Mohd Kafli Che Ali memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Pengarah UC Travel Sdn Bhd Agus Rizal Mat Ali, 52, di akhir kes pendakwaan.

"Setelah mendengar keterangan lapan orang saksi pendakwaan serta hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie dalam kes ini dan tertuduh diarah membela diri atas pertuduhan terhadapnya.

"Tertuduh mempunyai tiga pilihan untuk membela diri iaitu berdiam diri dan tidak menjawab pertuduhan, memberi keterangan secara tidak bersumpah dari kandang tertuduh tanpa disoal balas oleh pendakwaan atau memberi keterangan secara bersumpah dari tempat duduk saksi dengan pendakwaan diberikan peluang untuk mengemukakan soalan semasa pemeriksaan balas," kata hakim itu.

Peguam Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahamud yang mewakili tertuduh memaklumkan anak guamnya akan memberi keterangan secara bersumpah dari tempat duduk saksi.

"Bagaimanapun, saya masih belum mendapat arahan daripada anak guam mengenai saksi-saksi lain yang akan dipanggil. Mohon mahkamah tetapkan tarikh untuk membela diri," katanya.

Mahkamah menetapkan prosiding membela diri pada 23 Feb dan 1 Mac ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Akmalzatul Mohd Nawi.

Pada 9 Ogos 2022, Agus Rizal mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengiklankan perkhidmatan pakej haji furada bagi musim 2022M/1443H dengan memuat naik di media sosial Facebook milik syarikat itu, bahawa dia boleh menjalankan atau membuat transaksi perniagaan sebagai pengelola perjalanan haji ke tanah suci.

Perbuatan itu bagi tujuan menunaikan haji sedangkan syarikat tersebut tidak mempunyai lesen pengelola jemaah haji secara sah daripada Lembaga Tabung Haji.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di pejabatnya di Platinum Walk, Jalan Langkawi 2, Danau Kota di sini pada 9 Mei lepas, mengikut Seksyen 27 (1) (b) Akta Tabung Haji 1995 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 27 (2) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2024 @ 3:55 PM