MOHAMAD (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Sahana (duduk) ketika lawatan di Taman Senangin, semalam.
MOHAMAD (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Sahana (duduk) ketika lawatan di Taman Senangin, semalam.
Azahar Hashim

Kulim: Penderitaan seorang ibu tunggal yang tular di laman sosial Facebook mendapat perhatian Pejabat Daerah dan Tanah Kulim serta Puspanita Daerah Kulim serta agensi kerajaan yang lain bagi meringankan bebanan mereka.

Pegawai Daerah Kulim, Mohamad Che Nai berkata, pihaknya mengambil tindakan segera apabila isu berkenaan ibu tunggal terbabit, Sahana Ramly, 47, yang tinggal bersama tiga anaknya di sebuah kiosk menjual jajan di Dataran Putra, di sini, tular di media sosial kelmarin.

Katanya, pihaknya mengalu-alukan maklumat daripada orang ramai mengenai sebarang isu membabitkan golongan kurang berkemampuan di daerah ini melalui media sosial.

“Kadangkala maklumat tidak sampai kepada pihak kami maka masalah terbabit tidak dapat diselesaikan. Memang tugas kami iaitu agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pejabat Zakat Daerah dan UMNO Bahagian dalam menyalurkan bantuan yang termampu oleh pihak kami.

“Contoh kes membabitkan Sahana yang ditularkan semalam (kelmarin) pihak kami mengambil tindakan segera dengan melawat keluarga terbabit di kiosk itu sebelum menghantar mereka pulang ke rumah,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada Sahana di rumah sewanya di Taman Senangin, semalam.

Turut hadir, Pegawai JKM Daerah Kulim, Mohamad Zarir Mohamad Khozali, Pegawai Zakat Daerah Kulim, Mohd Khairi Ishak, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Padang Serai, Mohd Bakri Hashim serta ahli Puspanita.

Mohamad berkata, Sahana adalah penerima bantuan bulanan daripada pihak zakat RM450 dan JKM sebanyak RM350.

“Sahana yang menghidap kanser hati dan limpa sudah tidak menerima rawatan beberapa minggu akibat kesukaran untuk ke hospital selain tiada kenderaan untuk ke tempat berniaga.

“Disebabkan masalah itu mereka sekeluarga tidur di kiosk terbabit untuk memudahkan mereka menjalankan perniagaan,” katanya.

Pihaknya turut menyumbang wang tunai dan pakaian persekolahan dua anak Sahana manakala pihak Puspanita juga menyumbangkan sebuah basikal untuk memudahkan anak lelaki berusia 15 tahun ke sekolah.

“Pihak kami akan membantu Sahana menerima rawatan di hospital dan juga beberapa hal lagi supaya keluarga terbabit terbela dan berusaha mencari sebuah motosikal bagi memudahkan urusan keluarga terbabit,” katanya.

Sementara itu, Sahana berkata, suaminya meninggal dunia pada 2010 akibat sakit dan dia mempunyai tiga anak, yang sulung Siti Natrah Abdullah, 20, kedua Muhamad Fitri, 15, dan bongsu Mohamad Firdaus Aswad, 10 tahun.

“Saya menjalankan perniagaan kecil-kecilan dengan menjual rojak serta jajan di kawasan Dataran Putra dengan pendapatan yang tidak seberapa.

“Saya tidak mahu berpisah dengan anak, kalau boleh tidak mahu berharap pada orang ramai dan cuba mencari nafkah sendiri, namun apakan daya dengan keadaan dirinya yang mempunyai penyakit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2018 @ 10:27 AM