Bayi lelaki yang ditinggalkan ibu bapa pada 24 Januari lalu. FOTO ihsan JKM
Bayi lelaki yang ditinggalkan ibu bapa pada 24 Januari lalu. FOTO ihsan JKM
Nor Farhani Che Ad


JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kulim sedang mengesan waris kepada bayi lelaki berusia 22 hari bagi proses dokumentasi dan diserahkan semula kepada keluarganya.

Pegawai JKM Daerah Kulim, Manab Mehat berkata, bayi dikenali sebagai Muhammad Fateh Hakimi Abdullah itu dikatakan ditinggalkan kepada sepasang suami isteri pada 24 Januari lalu di alamat No 7, Jalan Pusat Komersial, Junjung di Kulim.

“Menurut pasangan suami isteri dikenali sebagai Abdullah Abdul Ashad dan Rokayoh Mideng, bayi itu dipercayai ditinggalkan oleh ibu bapa kandungnya.

“Bagaimanapun, sehingga kini ibu bapa bayi berkenaan belum mengambil semula anak mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Manab berkata, satu laporan polis dibuat dan difahamkan bayi terbabit ditinggalkan tanpa sebarang dokumen berkaitan kelahirannya mahupun maklumat ibu bapa kandung.

Beliau berkata, permohonan perintah mengikut Seksyen 19(2)(b) Akta Kanak-Kanak dikeluarkan pada 2 Februari lalu.

“Kami harap waris bayi ini dapat dijejaki untuk diserahkan semula bagi kesejahteraannya,” katanya.

Sehubungan itu, waris atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pelindung JKM Daerah Kulim, Munirah Athirah Abdul Aziz di talian 04-4907403.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Februari 2020 @ 10:49 AM