Hadzlihady Hassan


TAKUT selepas wajah mereka tular, empat lelaki yang menyamun sebuah kedai 24 jam di Jalan Tanah Liat, Bukit Mertajam semalam cuba melarikan diri ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas ekspres, hari ini.

Bagaimanapun, cubaan itu gagal apabila mereka ditahan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh, Selangor 4 pagi tadi oleh sepasukan pegawai dan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah.

Dalam kejadian 11.28 pagi semalam, dua lelaki bertopi keledar masuk ke sebuah kedai 24 jam manakala dua lagi rakan mereka menunggu di luar premis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, seorang daripada suspek pergi ke peti sejuk dan mengambil sebotol air sebelum menuju ke kaunter.

Menurutnya, ketika itu remaja perempuan berusia 18 tahun yang juga juruwang di premis terbabit mahu mengimbas harga minuman itu sebelum suspek secara tiba-tiba mengacukan parang panjang ke arahnya.

WAJAH salah seorang lelaki yang tular menyebabkan mereka cuba melarikan diri ke Kuala Lumpur. FOTO ihsan PDRM
WAJAH salah seorang lelaki yang tular menyebabkan mereka cuba melarikan diri ke Kuala Lumpur. FOTO ihsan PDRM

“Suspek kemudian memaksa mangsa menyerahkan semua wang yang ada sebelum mereka melarikan diri bersama dua lagi rakan yang menunggu di luar premis dengan menaiki dua motosikal.

“Siasatan mendapati suspek melarikan wang tunai RM150 dan pemeriksaan mendapati premis itu dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV),” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, wajah seorang daripada suspek tular di media sosial menyebabkan mereka bimbang dan mengambil keputusan melarikan diri dengan menaiki bas ekspres ke Kuala Lumpur.

“Mereka yang berusia 16 hingga 19 tahun itu ditahan di R&R Sungai Buloh sebelum dibawa pulang ke negeri ini.

“Kita merampas tiga telefon bimbit, pakaian, sebilah parang panjang, dua motosikal dan empat topi keledar yang digunakan suspek ketika melakukan samun,” katanya.

Menurutnya, semua suspek tidak bekerja dan pemeriksaan mendapati mereka tiada rekod jenayah lampau.

“Seorang daripada suspek mengaku melakukan kegiatan samun di beberapa premis sekitar daerah SPT sejak awal 2019 bersama rakan-rakannya.

“Mereka akan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 January 2020 @ 3:40 PM