PEGAWAI Bahagian Keselamatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Kedah, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Syaril P Ramli (depan) memeriksa keselamatan bangunan Maahad Tahfiz Al-Quran Derga di Lorong Seri, Jalan Langgar dengan diiringgi Pengetua Maahad Tahfiz Al-Quran Derga, Yahya Saad, pada 26 September lalu. FOTO Sharul Hafiz Zam
PEGAWAI Bahagian Keselamatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Kedah, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Syaril P Ramli (depan) memeriksa keselamatan bangunan Maahad Tahfiz Al-Quran Derga di Lorong Seri, Jalan Langgar dengan diiringgi Pengetua Maahad Tahfiz Al-Quran Derga, Yahya Saad, pada 26 September lalu. FOTO Sharul Hafiz Zam
Rosliza Mohamed


PEMERIKSAAN keselamatan fasa kedua oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan dijalankan ke atas 1,238 pusat tahfiz di seluruh negara, bermula tahun depan.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Wan Mohd Nor Ibrahim berkata, ia akan dilaksana selepas proses baik pulih pendawaian dan penstrukturan semula bangunan mengikut spesifikasi ditetap kerajaan, selesai.

"Dalam Bajet 2018 lalu, kerajaan umumkan RM50 juta kepada GiatMARA untuk baik pulih, selenggara sistem pendawaian dan susulan itu premis perlu distruktur semula supaya ikut ciri keselamatan ditetapkan.

"Ia perlu ada laluan dan tangga kecemasan yang mencukupi selain alat bantuan keselamatan, yang semua ini akan dilaksana mulai tahun depan.

"Jadi kita akan mula lakukan pemeriksaan semula di 1,238 pusat tahfiz yang ada dan berdaftar, selepas semuanya selesai," katanya

Beliau ditemui pada Majlis Ramah Mesra JBPM Kelantan bersama Media di Ibu Pejabat JBPM Kelan di Tunjong, Kota Bharu, malam tadi.

Hadir sama Pengarah JBPM Kelantan Nazili Mahmood dan 65 pengamal media negeri.

Pada 14 September lalu, 23 pelajar dan guru tahfiz di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Ujung, Kuala Lumpur, terkorban dalam tragedi kebakaran yang mengemparkan negara.

Susulan insiden itu, kerajaan menggesa semua pusat tahfiz di seluruh negara diperiksa dan dipastikan selamat untuk diduduki.

Wan Mohd Nor berkata, pihaknya sebelum ini mengesan kira-kira 60 peratus pusat tahfiz yang tidak patuh ciri keselamatan dan kesedaran mengenainya (pastikan bangunan selamat) semakin meningkat selepas insiden berkenaan.

"Sejak kejadian itu, pelbagai pendekatan diambil termasuk mengeluarkan poster keselamatan dan kita dapati kesedaran pengurusan tahfiz mengenai keselamatan meningkat.

"Tidak dinafikan ada antaranya yang sudah ambil insiatif sendiri membaiki bangunan tetapi kita belum lagi dipanggil untuk pemeriksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Disember 2017 @ 2:00 PM