PESERTA Terbaik Kategori Wanita Kelas al-Quran Braille 2015, Wan Nur Aini Wan Ali, 36, (kiri) bersama Rahimin menunjukkan cara membaca al-Quran Braille. FOTO Fathil Asri
PESERTA Terbaik Kategori Wanita Kelas al-Quran Braille 2015, Wan Nur Aini Wan Ali, 36, (kiri) bersama Rahimin menunjukkan cara membaca al-Quran Braille. FOTO Fathil Asri
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Tiga puluh tujuh peserta orang kurang upaya (OKU) dari Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia Wilayah Kelantan (PERTIS) diraikan dalam Majlis Graduasi Kelas al-Quran Braille selepas menamatkan kelas pengajian al-Quran braille selama tiga bulan di sini, hari ini.

Kelas pengajian al-Quran braille ini diadakan bermula 27 Julai 2015 di Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia di Jelawat, Bachok dibantu oleh enam pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dari Fakulti Pengajian al-Quran dan Sunnah sebagai tenaga pengajar.

Majlis Graduasi ini disempurnakan oleh Tengku Temenggong Kelantan, Datuk Tengku Muhammad Rizam Tengku Abdul Aziz dan Tengku Puan Temenggong, Tunku Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Peserta Kategori Terbaik Pembacaan, Rahimin Abdul Rahman, 46, berkata, kecacatan mata sejak kecil tidak menghalangnya untuk mempelajari ilmu al-Quran.

"Saya menaiki teksi sejauh 50 kilometer tiga kali seminggu semata-mata untuk menimba ilmu yang tidak mungkin dapat ditemui di tempat lain.

"Alhamdulillah,selepas tiga bulan mengikuti kelas itu, pembacaan saya semakin baik namun harus dipertingkatkan dari semasa ke semasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2016 @ 4:35 PM