Ismail Nik Man menunjukkan sijil dan anugerah yang diperoleh di Majlis Imaratul Ilmi Ke-3 Kolej Al-Quran Terengganu. FOTO NAZDY HARUN
Ismail Nik Man menunjukkan sijil dan anugerah yang diperoleh di Majlis Imaratul Ilmi Ke-3 Kolej Al-Quran Terengganu. FOTO NAZDY HARUN
Nazdy Harun


Kuala Terengganu: Usia bukan penghalang apabila seorang warga emas berjaya menamatkan pengajian dalam bidang al-Quran sekali gus memperoleh Sijil Dirasat Quraniyyah Kulliyyah Al-Furqan.

Ismail Nik Man, 70, dari Kampung Durian Burung, di sini, berkata dia mengikuti pengajian pada hujung minggu dalam tempoh enam tahun untuk mempelajari al-Quran di Kolej Al-Quran Terengganu (KQT) dengan mengambil Sijil Dirasat Quraniyyah Kulliyyah Al-Furqan.

"Pengajian hujung minggu hanya ditawarkan di peringkat sijil dan saya bersyukur dengan usaha yang dilakukan sepanjang enam tahun akhirnya membuahkan hasil.

"Selain mempelajari al-Quran dalam masa sama saya juga mengikuti kelas bahasa Arab bagi membolehkan saya memahami intipati al-Quran dengan lebih jelas dan tepat," katanya yang juga bapa kepada empat cahaya mata.

Ismail berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Imaratul Ilmi Ke 3 KQT di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI), di sini, hari ini.

Menurutnya, isterinya Noreda Mohd Arifin, 64, menjadi pendorong utama hingga dia mampu menghabiskan pengajian dengan cemerlang dan turut dinobat penerima Anugerah Kulliyyah Al-Furqan.

Katanya, sebelum tamat pengajian di KQT, dia turut mengikuti kelas bahasa Arab secara bersemuka yang diadakan di sekitar bandar ini.

Sementara itu, pelajar Diploma Tahfiz al-Quran dan Bahasa Arab, N'aim Izuddin Azman, 28, berkata dia sebelum ini melanjutkan pengajian di Universiti Tenaga Nasional (Uniten) di peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal.

"Saya tertarik dengan ilmu al-Quran hingga terdorong untuk melanjutkan pengajian di peringkat diploma di KQT dan Alhamdulillah, selepas tiga tahun melanjutkan pengajian kini saya mampu menghafal 30 juzuk.

"Kebiasaannya saya menghabiskan waktu selepas solat Subuh dengan membaca al-Quran selain menjaga percakapan, tingkah laku dan yang paling penting hormat kepada guru," katanya yang juga anak kedua daripada empat beradik.

N'aim Izuddin yang juga penerima Anugerah Huffaz berkata, niat dan tekad dalam diri seseorang menjadi peranan penting dalam menentukan bidang yang ingin diceburi.

"Memandangkan usia semakin meningkat, saya perlu memfokuskan kepada pekerjaan dan akan kembali sebagai tenaga pengajar dalam bidang al-Quran kerana minat amat mendalam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mei 2022 @ 2:59 PM