Mohd Nasif Badruddin


Maahad Tahfiz al-Quran al-Imam an-Nawawi (MATIN) yang beroperasi di Kangar, Perlis, bukan saja bertujuan melahirkan pelajar yang menghafal 30 juzuk al-Quran (huffaz), malah mampu berkhidmat kepada masyarakat dalam pelbagai bidang selepas tamat belajar nanti.

MATIN yang dirasmikan Tuan Guru Datuk Dr Haron Din pada 7 Januari 2009 bersamaan 10 Muharam 1430 Hijrah ditubuhkan hasil perbincangan ulama negeri itu untuk mewujudkan pusat pendidikan menumpukan kepada pembinaan peribadi serta mempunyai kepakaran dalam bidang al-Quran.

Meskipun menghadapi pelbagai cabaran sejak lapan tahun lalu, MATIN di bawah pimpinan Ustaz Yussaine Yahya sebagai mudir terus mengorak langkah ke hadapan melahirkan ulama dan profesional yang menguasai al-Quran.

Menurut Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar MATIN Ustaz Nasrul Ikman Nerudin, 40, objektif institusi itu ialah untuk menyediakan proses pendidikan berorientasikan pendidikan Islam ke arah melahirkan individu bercirikan UDM (Ulama Amilin Daie IlaAllah-Murobitun dan Amilin Amal Islami).

Katanya, MATIN kini mempunyai 161 pelajar dari seluruh negara berusia 11 hingga 19 tahun terdiri daripada 111 lelaki dan 50 perempuan di bawah bimbingan 32 guru serta kakitangan.

“Pengajian di sini mengambil masa lima hingga enam tahun membabitkan Qism Tahfiz iaitu menjalani hafazan al-Quran berserta syahadah selama tiga tahun dan Qism Tafaqquh selama dua tahun untuk mendalami bahasa Arab serta Fiqah secara talaqqi.

“Selepas itu mereka melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi mengikut pilihan institusi ditetapkan MATIN di dalam atau luar negara seperti Indonesia dan Yaman,” katanya.

Menurutnya, pada peringkat awal pelajar mengikuti proses qiraati untuk tafsir al-Quran iaitu mempelajari tajwid serta makhraj.

Katanya, pelajar akan khatam al-Quran dengan membaca sebanyak 40 kali yang disasarkan tamat dalam masa enam bulan sebelum menghafal penuh 30 juzuk.

“Pada peringkat Qism Syahadah pelajar mengulang hafalan 40 kali di hadapan guru sebelum tamat sepenuhnya.

“Selepas habis menghafal al-Quran barulah pelajar akan memasuki Qism Tafaqquh untuk belajar tujuh subjek bahasa Arab dan Fiqah,” katanya.

Nasrul Ikman berkata, selain menghafal al-Quran, pelajar mengikuti pelbagai aktiviti kokurikulum seperti menyertai badan beruniform, lawatan, perkhemahan dan sukan selain menyertai liga futsal antara pusat tahfiz.

Katanya, pelajar juga mengikuti kursus kemahiran jangka pendek seperti penyembelihan, pengurusan jenazah dan pelbagai lagi.

“MATIN menggunakan pendekatan Imam Syafie iaitu mengutamakan pengajian al-Quran sebelum belajar ilmu lain seperti hadis atau akademik.

“Apabila pelajar diasah menguasai al-Quran dulu, otak lebih mudah menerima ilmu lain kerana al-Quran kunci segala ilmu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Jun 2017 @ 5:47 AM
PELAJAR mendengar kuliah agama yang disampaikan guru.
PELAJAR mendengar kuliah agama yang disampaikan guru.
BANGUNAN MATIN di Kangar, Perlis.
BANGUNAN MATIN di Kangar, Perlis.