Sarah Zulkifli


TIGA lelaki warga Bangladesh terpaksa meringkuk dalam penjara selama enam bulan selepas gagal membayar denda RM24,800 dan RM12,700 yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini kerana memiliki pelbagai jenis beg mewah tiruan di Jalan Bukit Bintang, Isnin lalu.

Hasan Md Ashraful, 21, Md Saiful Islam, 25 dan Md Mizanur Rahman, 32, dikenakan hukuman itu selepas mereka mengaku bersalah apabila pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob dalam bahasa Melayu.

Terdahulu, Md Saiful yang memakai baju kemeja berwarna putih secara tiba-tiba menangis teresak-esak ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Tangisan tertuduh yang bertambah kuat kemudian ditegur Wan Mohd Norisham yang memintanya supaya jangan menangis.

Namun, ketiga-tiga tertuduh dilihat bertambah emosi ketika merayu kepada mahkamah untuk mengurangkan hukuman sehingga terpaksa ditenangkan polis mahkamah.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM24,800 kepada Hasan dan RM12,700 masing-masing kepada dua tertuduh yang lain dan memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut tiga pertuduhan dihadapi Hasan, dia didakwa memiliki keseluruhan 124 pelbagai barangan, termasuk beg tangan dan dompet tiruan berjenama Gucci, Louis Vuitton dan Chanel untuk membekalkan barangan berkenaan di premis Lot 99, Yayasan Selangor, Jalan Bukit Bintang, 11.35 pagi, pada 18 Disember lalu.

Manakala bagi tiga pertuduhan bersama, Md Saiful dan Md Mizanur pula didakwa memiliki 127 barangan tiruan sama di tarikh, tempat dan sama.

HASAN Md Ashraful, 21 (dua dari kiri), Md Saiful Islam, 25 (kanan) dan Md Mizanur Rahman, 32 terpaksa meringkuk dalam penjara selama enam bulan selepas masing-masing gagal membayar denda MRM24,800 dan RM12,700 yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini kerana memiliki pelbagai jenis beg mewah tiruan di Jalan Bukit Bintang, Isnin lalu. FOTO Saddam Yusoff
HASAN Md Ashraful, 21 (dua dari kiri), Md Saiful Islam, 25 (kanan) dan Md Mizanur Rahman, 32 terpaksa meringkuk dalam penjara selama enam bulan selepas masing-masing gagal membayar denda MRM24,800 dan RM12,700 yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini kerana memiliki pelbagai jenis beg mewah tiruan di Jalan Bukit Bintang, Isnin lalu. FOTO Saddam Yusoff

Kesemua kes itu didakwa mengikut Seksyen 8(2)(c) Akta Perihal Dagangan 2011 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 8(2)(B) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 bagi setiap barang yang diletakkan dengan perihal dagangan palsu atau dipenjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Dalam prosiding itu, mereka yang tidak diwakili peguam dalam rayuan memohon maaf dan memberitahu mahkamah bahawa pekerjaan itu adalah salah di sisi undang-undang.

"Kami baru bekerja dua hari dan tak tahu kerja itu salah," kata mereka.

Muka depan akhbar Harian Metro hari ini melaporkan, tiga warga Bangladesh masih menguasai penjualan barangan tiruan berjenama terkenal dan cetak rompak di sekitar lokasi tumpuan pelancong asing di Bukit Bintang walaupun kawasan itu sering 'digempur' pihak berkuasa.

Dalam operasi terbaru yang dijalankan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur, tiga warga Bangladesh yang menjalankan perniagaan menjual barangan tiruan jenama terkenal di kawasan itu berjaya ditahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2017 @ 5:55 PM