Nurul Fhatihah Zakinan


SEORANG wanita didenda RM25,000 selepas mengaku bersalah menjual 777 unit barangan berjenama tiruan bernilai lebih RM300,000 di sebuah premis di pusat beli-belah, Banda Hilir, Melaka Selasa lalu.

Wanita terbabit, Seah Chiew Yee, 31, membuat pengakuan itu sejurus jurubahasa membacakan pertuduhan di hadapan Hakim Norma Ismail di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, hari ini.

Mengikut pertuduhan, wanita terbabit memperdagangkan 615 kemeja-T, seluar pendek (5), jeans (44), kemeja (26), baju sejuk (34), tali pinggang (12), sarung kaki (10) dan beg kertas (31) berjenama Versace, perihal cap dagangan yang didaftarkan dengan salah.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah premis ‘outlet’ di pusat beli-belah itu, pada 12.25 tengah hari, 14 Januari lalu.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 100, Akta Cap Dagangan 2019 dan didakwa mengikut Seksyen 102(1)(c) akta sama, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 102(1)(ii) akta sama.

CHIEW Yee (tengah) diiringi anggota KPDNHEP selepas mengaku bersalah menjual barangan tiruan. FOTO Khairunisah Lokman
CHIEW Yee (tengah) diiringi anggota KPDNHEP selepas mengaku bersalah menjual barangan tiruan. FOTO Khairunisah Lokman

Jika bukan suatu pertubuhan perbadanan, hukuman denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barangan dipakai dengan salah cap dagangan berdaftar atau maksimum penjara tiga tahun atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan, manakala RM20,000 bagi setiap barangan atau maksimum lima tahun penjara jika sabit kesalahan kali kedua.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNHEP), Mohammed Heikal Ismail dan pegawai pendakwa kementerian sama, Sallim Wahid.

Peguam bela, Melvin Tay, mewakili anak guamnya merayu hukuman denda dikenakan atas alasan wanita yang juga ibu tunggal itu menanggung anak perempuan berusia 12 tahun selain ibu.

Norma kemudian mengenakan denda sebanyak RM25,000 dan enam bulan penjara jika wanita berkenaan gagal bayar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 January 2020 @ 6:29 PM