AMINAH Abdullah.
AMINAH Abdullah.
BERNAMA

Putrajaya: Ibu Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Mohd Jarjis gagal dalam permohonannya di Mahkamah Rayuan hari ini untuk mengemukakan keterangan lanjut dalam rayuannya berhubung saman sivil untuk memasukkan saham syarikat sebagai sebahagian daripada harta pusaka anak lelakinya.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Lee Swee Seng, Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Datuk M.Gunalan menolak permohonan Aminah Abdullah dengan kos RM5,000.

Dalam keputusan sebulat suara, Hakim Lee berkata, mahkamah mendapati tiada merit dalam permohonan Aminah untuk mengemukakan keterangan Datuk Zakri Afandi Ismail dalam rayuan itu.

Beliau berkata, Aminah mempunyai peluang untuk memanggil Zakri dan telah subpoena beliau tetapi memilih untuk tidak memanggilnya atas sebab-sebab yang hanya beliau (Aminah) sahaja yang mengetahuinya.

Hakim Lee berkata, keterangan yang diperlukan oleh Aminah hanya dalam bentuk pernyataan afidavit yang difailkan oleh Zakri dalam tuntutannya terhadap dua cucu Aminah sambil menambah mahkamah belum menilai bukti itu kerana perbicaraan belum dimulakan.

Terdahulu, peguam Wan Zafran Pawancheek yang mewakili Aminah, memohon mahkamah menerima afidavit Zakri yang memfailkan saman berasingan terhadap dua anak Jamaluddin -- Ikhwan Hafiz dan Nur Anis -- apabila bekas rakan perniagaan Allahyarham itu mahu pemulangan saham dalam tiga syarikat termasuk Alpine Motion Sdn Bhd dan Ivory Insights Sdn Bhd.

Beliau berkata, keterangan Zakri menyokong keseluruhan kes Aminah sambil menambah perbicaraan kes saman Aminah terhadap cucunya sudah berakhir selepas Mahkamah Tinggi menyampaikan keputusannya pada Ogos tahun lepas.

Wan Zafran memberitahu mahkamah mereka telah cuba menghubungi Zakri, orang kepercayaan Allahyarham Jamaluddin untuk memberi keterangan sebagai saksi tetapi memutuskan sebaliknya selepas beliau meminta bayaran yang terlalu tinggi iaitu RM24,800 untuk memberi keterangan.

Beliau berkata, saman yang difailkan oleh Zakri menunjukkan saham Alpine Motion dan Ivory Insights sepatutnya menjadi sebahagian daripada harta pusaka Jamaluddin.

Peguam Saheran Suhendran yang mewakili Ikhwan Hafiz berhujah keterangan Zakri tidak harus diterima kerana perkara itu belum dibicarakan.

Beliau berkata, Aminah mempunyai peluang untuk memanggil Zakri memberi keterangan dalam perbicaraan itu tetapi memilih untuk tidak berbuat demikian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2022 @ 5:29 PM