Zulkifli   (tengah) dan  Rodzali  (tiga dari kanan) ketika merasmikan majlis peletakan Lunas Kapal di  Pulau Indah, semalam.
Zulkifli (tengah) dan Rodzali (tiga dari kanan) ketika merasmikan majlis peletakan Lunas Kapal di Pulau Indah, semalam.
Faliq Lajim


Pelabuhan Klang: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bakal memiliki tiga Kapal Peronda Luar Pantai (OPV) yang menggunakan kepakaran anak tempatan bagi meningkatkan aspek keselamatan dan kedaulatan perairan negara.

Semua aset itu dilengkapi meriam, tapak pendaratan helikopter dan bot kecil pemintas yang dibina syarikat Destini Sdn Bhd dengan kerjasama TH Heavy Engineering Berhad (THHE).

Ketua Pengarah APMM Datuk Zulkifli Abu Bakar berkata, kapal ronda berteknologi tinggi itu berfungsi menentukan keselamatan perairan negara berkeluasan 600,000 kilometer persegi.

“Projek pembinaan OPV ini berukuran 83 meter panjang dan 13.7 meter lebar yang berkeupayaan melaksanakan operasi dan rondaan di laut dalam tempoh maksimum selama 21 hari.

“Ia mampu menjalankan pengawasan jarak jauh sehingga ke kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) dan kawasan di luar jangkauan kapal kecil,” katanya selepas majlis pelancaran peletakan Lunas Kapal di Pulau Indah di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Destini Sdn Bhd Tan Sri Rodzali Daud dan Ketua Pegawai Eksekutif THHE Suhaimi Badrul Jamil.

Menurut Zulkifli, OPV itu turut dilengkapi radar berkeupayaan tinggi bagi memastikan rondaan mampu bergerak secara meluas dan tidak terkesan dengan cuaca hujan.

“Ia boleh menempatkan 70 anak kapal dan 20 penumpang dalam satu masa bagi melaksanakan operasi di laut selain dilengkapi kemudahan bilik rawatan serta bilik tahanan,” katanya memaklumkan ia dijangka siap sepenuhnya pada Februari 2020 dan ditempatkan di pantai timur Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, pihaknya memiliki 256 aset sedia ada namun tidak mencukupi bagi mengawal serta memantau perairan negara.

“Aset kapal dimiliki ketika ini berusia lebih 30 tahun, sekali gus menyebabkan keberkesanan dalam menjalankan operasi terhad.

“Menerusi OPV ini, ia mempertingkat kebolehupayaan APMM dalam memastikan perairan selamat daripada ancaman jenayah di laut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2017 @ 4:59 AM