PENGERUSI Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Mohd Nizar Zakaria (tiga kiri) memasukkan naskhah Al-Quran yang sudah lusuh ke dalam kebuk pelupusan Al-Quran di perkarangan Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM) . Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin (dua kiri). FOTO Balqis Jazimah Zahari
PENGERUSI Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Mohd Nizar Zakaria (tiga kiri) memasukkan naskhah Al-Quran yang sudah lusuh ke dalam kebuk pelupusan Al-Quran di perkarangan Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM) . Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin (dua kiri). FOTO Balqis Jazimah Zahari
Balqis Jazimah Zahari


PERAK kini mempunyai pusat pelupusan al-Quran pertamanya di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM) di Ipoh bagi membolehkan proses pelupusan dijalankan mengikut syariat Islam.

Kebuk atau dinamakan sebagai insinirator yang dibina dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, sudah ditempatkan di pusat berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Mohd Nizar Zakaria berkata, pembuatan kebuk menggunakan teknologi terkini itu mampu menjimatkan masa dan kos pelupusan.

Katanya, proses pelupusan yang dijalankan sebelum ini menggunakan perkhidmatan syarikat swasta membabitkan kos tinggi sehingga mencecah RM100,000.

“Sebelum ini kita perlu mengumpul jumlah yang banyak dan operasinya mengambil masa lama bermula dari pembakaran sebelum menaiki kapal ke tengah laut untuk pembuangan abu.

“Jadi dengan adanya insinirator ini, masa dan kos dapat dijimatkan apabila proses pelupusan dan pembuangan dilakukan di lokasi sama dan hanya membabitkan kos binaan mesin dalam RM30,000 hingga RM40,000 sahaja.

“Kewujudan pusat ini akan memberi kelegaan dan mengurangkan kegusaran umat Islam di negeri ini untuk melupus al-Quran serta buku agama lama yang ada berkaitan dengan ayat suci,” katanya selepas merasmikan pusat itu di Ipoh, hari ini.

Hadir sama Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin dan Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UiTM Shah Alam, Razali Hassan.

Mohd Nizar berkata, beliau mengharapkan masyarakat dapat memanfaatkan pusat pelupusan itu dengan mengumpul dan menghantar Al-Quran atau buku agama yang rosak untuk dilupuskan dengan kaedah mengikut syariat Islam.

“Umat Islam di negeri ini bolehlah menghantar bahan yang hendak dilupus di pejabat agama di daerah masing-masing atau terus ke lokasi tempat pelupusan di INTIM untuk berjumpa pegawai dan melihat sendiri proses pelupusan dijalankan,” katanya

Menurut Mohd Nizar, pihaknya sudah bekerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memudahkan kerja pelupusan dijalankan.

Sementara itu, Razali berkata, kebuk yang terdiri daripada dua bahagian itu mampu membuat pembakaran sebanyak 30 kilogram (kg) dalam tempoh satu jam secara berperingkat.

“Kelebihannya, kebuk menggunakan teknologi tinggi menggunakan gas, yang mana ia turut mampu memerangkap abu yang berterbangan untuk dikumpulkan sebelum dialirkan ke sungai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2017 @ 8:22 PM