HARUSSANI melupuskan abu al-Quran ke laut. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
HARUSSANI melupuskan abu al-Quran ke laut. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Oleh Noor Hidayah Tanzizi


Lumut: Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) melupuskan abu seberat 12.5 tan hasil pembakaran ribuan naskah al-Quran dan buku agama yang rosak akibat banjir tahun lalu di perairan Pulau Tukun Perak kira-kira lima batu nautika dari Pulau Pangkor, dekat sini pagi tadi.

Pembakaran dilakukan di Pusat Perlupusan al-Quran Percetakan Saufi Sdn Bhd di Cheras, Kajang dan abunya dibentuk menjadi bongkah yang dibawa dengan menaiki KM Marlin milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim 3, Lumut ke tengah laut kira-kira 8.45 pagi sebelum dilupuskan ke laut mengikut tertib.

Proses itu disaksikan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria; Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin dan Ketua Penguatkuasa Maritim, Kapten Zulinda Ramly.

Mohd Yusop berkata, al-Quran dan buku agama berkenaan dikumpulkan dari beberapa daerah yang dilanda banjir tahun lalu sebelum dihantar untuk proses pembakaran.

"Kami mengambil masa hampir enam bulan bermula proses pengumpulan dan pembakaran sehingga pelupusan abu ke laut.

"Banyak al-Quran dan buku agama yang rosak akibat banjir tahun lalu dan kaedah ini bertujuan bagi menghormati serta menjaga kesucian al-Quran biarpun ia sudah tidak digunakan," katanya.

Sementara itu, Harussani berkata, naskah al-Quran dan buku cetakan yang mengandungi ayat al-Quran atau hadis nabi yang rosak atau reput perlu dilupuskan mengikut tertib dan kaedah yang disyariatkan biarpun hanya mempunyai satu ayat al-Quran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2015 @ 2:19 PM