MUHAMMAD Munzir maut dalam kemalangan di Jalan Baru Baling-Kupang berdekatan Simpang Empat Charok Nau, Baling, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
MUHAMMAD Munzir maut dalam kemalangan di Jalan Baru Baling-Kupang berdekatan Simpang Empat Charok Nau, Baling, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
Safuri Kamarudin


Baling: Pelajar Terbaik Sekolah-Sekolah Menengah Agama Kedah 2020 maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Baru Baling-Kupang berdekatan Charok Nau, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa Muhammad Munzir Abdul Razak, 19, berasal dari Taman Pekatra Indah, Simpang Empat, Pulau Pinang, dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah sebelum terbabit dalam kemalangan itu.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, mangsa yang juga bekas pelajar Yayasan Khairiah, Kupang, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di badan dan kepala.

Menurutnya, terdahulu mangsa baharu selesai menduduki ujian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi menunggang motosikal kelas B2 di sekolah memandu di pekan Baling dan lulus ujian berkenaan pada sebelah pagi.

"Sebaik mendapat keputusan ujian, mangsa menunggang motosikal Yamaha Lagenda untuk pulang ke rumahnya di Pulau Pinang sebelum bertembung MPV Toyota Unser di simpang empat berdekatan Charok Nau.

"Ketika tiba di tempat kejadian, motosikal mangsa dikatakan keluar simpang secara mengejut manakala pemandu MPV dari arah pekan Baling menyebabkan kedua-duanya berlanggar," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhammad Munzir menerima pengiktirafan sebagai pelajar terbaik Kedah selepas mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2020 selain turut berjaya melengkapkan pengajian tahfiz al-Quran.

Shamsudin berkata, akibat perlanggaran itu, mangsa melambung dan jatuh di laluan bertentangan selain parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Jenazah mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim bagi menjalani ujian pengesanan Covid-19 sebelum proses bedah siasat dapat dilakukan.

"Pemandu MPV berusia 49 tahun berasal dari Kampung Kuala Chenerai, Kuala Pegang dilaporkan tidak cedera dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 November 2021 @ 4:53 PM