SUPERINTENDAN Shamsudin Mamat menunjukkan barangan dan kabel elektrik  yang dirampas di perkarangan Ibu Pejabat Polis Baling. FOTO Safuri Kamarudin
SUPERINTENDAN Shamsudin Mamat menunjukkan barangan dan kabel elektrik yang dirampas di perkarangan Ibu Pejabat Polis Baling. FOTO Safuri Kamarudin
Safuri Kamarudin


Baling: Kegiatan empat lelaki termasuk seorang warga asing mencuri kabel elektrik berakhir apabila mereka ditahan di sebuah bangsal di belakang rumah Rancangan Perumahan Awam Charok Nau, di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menahan dua lelaki tempatan dan lelaki seorang warga asing berusia 21 sehingga 39 tahun yang sedang 'memproses' kabel elektrik di bangsal itu, kira-kira 2 petang.

"Polis turut menjumpai barangan seperti 87 batang wayar kabel elektrik yang dipotong sepanjang 70 sentimeter dan gulungan tembaga.

"Selain itu, turut ditemui ialah 24 batang wayar kabel berwarna hitam yang dipotong sepanjang 70 sentimeter, mesin pemotong, sebilah pisau pemotong, pemutar skru dan peralatan lain," katanya pada sidang media, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling, di sini, hari ini.

Shamsudin berkata, berdasarkan maklumat polis turut menahan seorang lagi lelaki berusia 59 tahun yang juga subkontraktor dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di kawasan perumahan sama.

Menurutnya, kerugian akibat kehilangan kabel itu dianggarkan antara RM20,000 hingga RM30,000.

Katanya, polis turut menyita sebuah lori dan saringan ujian air kencing mendapati salah seorang suspek didapati positif dadah jenis syabu.

"Kesemua suspek direman sehingga 26 Januari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 431 Kanun Keseksaan," katanya.

Katanya, berdasarkan rekod sepanjang tahun lalu, pihak polis menerima lebih 27 kes kecurian kabel membabitkan kerugian hampir RM70,000.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2021 @ 3:26 PM