ANTARA mangsa banjir yang ditempatkan di SK Bunohan selepas air Sungai Golok melimpahi tebing. FOTO Syamsi Suhaimi
ANTARA mangsa banjir yang ditempatkan di SK Bunohan selepas air Sungai Golok melimpahi tebing. FOTO Syamsi Suhaimi
Mohamad Zulhairie Manzaidi


KERAJAAN Persekutuan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) meluluskan serta-merta bantuan dan keperluan mangsa banjir pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, bantuan segera itu diberikan agar mangsa banjir dapat tinggal dengan selesa di PPS.

"Saya sudah melawat banyak PPS di negeri ini dan mendapati masih ada yang tidak lengkap terutamanya tandas.

"Seperti di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Bunohan, saya terima laporan tandas rosak dan untuk itu kita hantar 10 tandas bergerak ke sini.

"Selain itu, kita juga menyediakan bekalan makanan untuk tiga hari kepada mangsa banjir selain memberikan tilam lembut agar mereka tidak kesejukan ketika tidur," katanya ketika sidang media di PPS SK Bunohan, Tumpat, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah NADMA, Datuk Abd Rashid Harun, Pengerusi Pengurusan Bencana Banjir Daerah Tumpat, Rosnazli Amin dan Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubor, Mat Razi Mat Ail.

PPS SK Bunohan yang dibuka sejak semalam menempatkan 570 mangsa daripada 187 keluarga dari 12 kampung di pinggir Sungai Golok.

Mengulas lanjut, Shahidan berkata, kepada mangsa banjir yang enggan berpindah, diminta mendengar nasihat pihak berwajib.

"Kita mahu mangsa banjir berpindah, dan ia adalah arahan yang dikeluarkan kerajaan. Kita tidak mahu sebarang kejadian buruk berlaku.

"Tolong akur dengan arahan yang dikeluarkan kerana PPS sekarang sudah selesa dengan pelbagai kemudahan disediakan," katanya.

Berita berkaitan:

Dengus banjir

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2017 @ 6:12 PM