Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Ir Dr Hamim Samuri (gambar kanan, dua dari kanan) meninjau kawasan sawah padi yang kerap dilanda banjir. FOTO Faris Zainuldin.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Ir Dr Hamim Samuri (gambar kanan, dua dari kanan) meninjau kawasan sawah padi yang kerap dilanda banjir. FOTO Faris Zainuldin.
Mohamad Zulhairie Manzaidi


FASA pertama pembinaan benteng cegah banjir di sepanjang 26 kilometer Sungai Golok, Kelantan akan dimulakan Februari ini, susulan pengumuman kontraktor projek itu, esok.

Benteng itu termasuk di bawah projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bernilai RM300 juta akan dibina bermula di Pengkalan Kubor hingga Kuala Jambu, Tumpat.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Ir Dr Hamim Samuri berkata, pembinaannya akan turut mengambil kira ciri penting cegah banjir termasuk pintu keluar masuk air automatik yang akan ditempatkan di lokasi sesuai.

“Tender untuk projek ini sudah dikeluarkan selepas pengumuman dibuat kerajaan dan esok, kontraktor akan dimuktamadkan.

“Kita sudah lakukan kajian secara terperinci dan benteng akan dibina setinggi satu hingga tiga meter mengikut kesesuaian bentuk muka bumi, serta diharap membantu menyelamatkan kira-kira 200 hektar tanaman padi di kawasan berkenaan.

“Dijangkakan 5,000 penduduk membabitkan 36 kampung akan menerima manfaat kelak,” katanya pada sidang media di pekarangan Masjid Kubang Sawa, Tumpat, hari ini.

Terdahulu, beliau melawat tapak projek RTB dan kawasan dilanda banjir termenung di Kampung Kubang Sawa.

Mengiringinya, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), DatuK Dr Md Nasir Md Noh, Pengarah JPS Negeri Kelantan Kamal Mustafa dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor Mat Razi Mat Ail.

Hamim berkata, fasa pertama itu dijangka berlangsung selama dua tahun setengah sebelum fasa berikutnya menyusul.

“Fasa kedua akan bermula di Kampung Kubang Pak Itam ke Rantau Panjang dan seterusnya ke Bukit Bunga, Jeli. Namun ia masih di peringkat kajian. Kita akan laksanakan secara berperingkat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2017 @ 3:08 PM