PENDUDUK, Rosahaidah Yaacob, 44, melihat rumahnya dilanda banjir di Kampung Chuchoh Puteri, Kuala Krai, Rabu lalu. FOTO Syamsi Suhaimi
PENDUDUK, Rosahaidah Yaacob, 44, melihat rumahnya dilanda banjir di Kampung Chuchoh Puteri, Kuala Krai, Rabu lalu. FOTO Syamsi Suhaimi
Muhamaad Razis Ismail


KEADAAN banjir di Kelantan semakin baik apabila jumlah mangsa banjir terus menurun kepada 4,752 orang sehingga 9 pagi, hari ini berbanding 4,846 malam tadi.

Semua mangsa banjir membabitkan 1,835 keluarga ditempatkan di 14 pusat pemindahan sementara (PPS) di Pasir Mas dan Tumpat.

Jumlah ini dijangka terus berkurangan berikutan ramalan cuaca baik sepanjang hari ini.

Berdasarkan info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah mangsa di Pasir Mas turun kepada 2,544 orang membabitkan 1,048 keluarga berbanding 2,566 semalam.

Semua mangsa banjir ditempatkan di tujuh PPS yang masih beroperasi termasuk di Sekolah Kebangsaan (SK) Bakong, SK Tok Deh dan SK Gelang Mas.

Di Tumpat, mangsa banjir turut berkurangan kepada 2,208 orang membabitkan 787 keluarga berbanding 2,280 semalam.

Antara tujuh PPS yang masih beroperasi adalah SK Bunohan, SK Pengkalan Kubor 2 dan SK Seri Tumpat.

Sementara itu, paras Sungai Golok di Rantau Panjang yang sebelum ini berada di paras bahaya (9.3 meter) sejak minggu lalu turun kepada paras amaran iaitu 8.87 meter, pagi ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Disember 2019 @ 9:36 AM