YAHAYA menandatangani plak Surau PIBG SK Simpangan, Tumpat, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
YAHAYA menandatangani plak Surau PIBG SK Simpangan, Tumpat, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Mohamad Zulhairie Manzaidi


KERAJAAN Pusat menerusi Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan membelanjakan RM178 juta sejak 2005 hingga kini untuk membina dan membaik pulih masjid serta surau di seluruh Kelantan.

Pengarahnya Datuk Yahaya Mamat berkata, peruntukan itu membabitkan 3,085 masjid dan surau di negeri itu.

"Peruntukan ini membuktikan kerajaan pusat prihatin dengan negeri ini sekali gus menolak tanggapan negatif sesetengah pihak bahawa kita tidak mementingkan pembangunan rohani dan agama.

"Sebagai contoh, tahun lalu, kerajaan memperuntukkan lebih RM20 juta kepada negeri ini bagi membaik pulih sebanyak 133 sekolah agama rakyat, pondok dan tahfiz di negeri ini," katanya selepas merasmikan Surau Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Simpangan, Tumpat, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Tumpat Che Omar Mohamad, Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tumpat Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor Mat Razi Mat Ail.

Sementara itu, Yahaya berkata, pihaknya memperuntukkan RM286,000 untuk pembinaan surau PIBG SK Simpangan yang mampu menempatkan 300 pelajar dan guru dalam satu masa.

"Pembinaan surau bermula Julai tahun lalu dan siap sepenuhnya tahun ini sekali gus melaksanakan janji kerajaan kepada ADUN Pengkalan Kubor bagi menggantikan surau yang uzur di sekolah ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2018 @ 5:23 PM