Kesan peluru pada bonet Honda Odyssey dinaiki suspek. FOTO ihsan polis
Kesan peluru pada bonet Honda Odyssey dinaiki suspek. FOTO ihsan polis
Zulfa Mohamad


DUA anggota polis berdepan detik cemas apabila kenderaan mereka dilanggar kereta dinaiki tiga lelaki dekat Kampung Selamat, Tasek Gelugor, semalam.

Dalam kejadian 12 tengah hari itu, dua anggota terbabit yang menjalankan Op Cantas diketuai Asisten Superintendan Mohd Yusof Ibrahim bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan mengenai Honda Odyssey dinaiki tiga lelaki dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, anggota polis menghampiri kereta itu untuk membuat pemeriksaan tetapi suspek tidak memberi kerjasama selain melanggar kenderaan polis beberapa kali.

Berikutan itu katanya, seorang daripada anggota polis terbabit terpaksa melepaskan dua das tembakan dan satu daripadanya terkena bonet kereta.

"Suspek memecut kereta ke arah ladang kelapa sawit sebelum melarikan diri.

"Seorang daripada suspek ditahan pada 3 petang di Kampung Selamat," katanya.

Noorzainy berkata, suspek berkenaan mempunyai lapan rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

"Polis sudah mengenalpasti suspek yang melarikan diri dan usaha mengesan mereka sedang dilakukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2017 @ 1:38 PM