Nur Izzati Mohamad


MEMPERKENALKAN diri sebagai anggota polis kononnya mahu membawa mangsa ke balai berikutan terbabit dalam kegiatan jenayah.

Namun, sebaliknya bertindak menyamun di pertengahan jalan dengan melarikan pelbagai barang berharga mangsa.

Itu modus operandi digunakan tiga lelaki apabila mereka dikesan memakai vest polis untuk melakukan kegiatan samun terhadap mangsa di kawasan rehat dan rawat (R&R) Bagan Ajam dan sekitar Kepala Batas.

Bagaimanapun, perbuatan mereka itu tidak bertahan lama apabila polis memberkas semua lelaki itu dalam tempoh tidak sampai 24 jam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, tangkapan dibuat sejurus pihaknya menerima laporan yang dibuat tiga mangsa mengatakan mereka disamun individu menyamar polis antara 4 pagi hingga 12 tengah hari semalam.

“Susulan itu, kita melancarkan Op Cantas dan menahan dua suspek berusia 23 dan 26 tahun di sebuah rumah di Bukit Indera Muda, Kubang Semang 11.30 pagi tadi.

“Hasil soal siasat terhadap dua suspek itu membawa kepada penahanan seorang lagi suspek 30 minit kemudian di kawasan sama,” katanya pada sidang media, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara hari ini.

Noorzainy berkata, dua daripada tiga suspek yang ditahan itu mempunyai rekod jenayah lampau.

“Mereka mengaku melakukan kegiatan jenayah dengan menyamar sebagai anggota polis.

“Kita merampas pelbagai alatan yang digunakan suspek untuk aktiviti penyamaran berkenaan antaranya vest polis, walkie talkie, lampu suluh mempunyai renjatan elektrik dan plastik lut sinar disyaki mengandungi syabu,” katanya.

Ketiga-tiga suspek kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2019 @ 4:13 PM
Noorzainy (dua dari kiri) menunjukkan vest yang dipakai lelaki menyamar sebagai anggota polis. FOTO Rosli Ahmad
Noorzainy (dua dari kiri) menunjukkan vest yang dipakai lelaki menyamar sebagai anggota polis. FOTO Rosli Ahmad