Keadaan kereta dinaiki mangsa yang terbabas ke dalam parit. FOTO ihsan bomba
Keadaan kereta dinaiki mangsa yang terbabas ke dalam parit. FOTO ihsan bomba
Farah Suhaidah Othman


REMAJA lelaki maut manakala tiga cedera selepas kereta dinaiki terbabas ke dalam parit di Parit 1, Jalan Pelabuhan Gaddarf Mable, Teluk Intan, hari ini.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi, pemandu kereta maut di lokasi kejadian manakala tiga penumpang cedera.

Semua mangsa terbabit berusia antara 14 hingga 17 tahun.

Ketua Polis Daerah Teluk Intan Asisten Komisioner Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, siasatan awal mendapati kereta jenis Mitsubishi Lancer dipandu mangsa dalam perjalanan dari Hutan Melintang menghala ke Pelabuhan Gaddarf Mable.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta terbabit dipercayai cuba mengelak seekor anjing yang melintas dari kiri ke kanan jalan.

"Susulan itu, kereta terbabit hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan lalu masuk ke dalam parit.

"Akibat kemalangan itu, pemandunya yang berusia 17 tahun disahkan maut di lokasi kejadian manakala tiga lagi penumpang mengalami kecederaan ringan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Marzukhi berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Teluk Intan untuk dibedah siasat dan hasil pembedahan itu mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.

Beliau berkata, ketika kejadian, jalan raya basah akibat hujan serta tiada lampu jalan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2017 @ 4:49 PM