KERETA Perodua Alza yang terbabit dalam kemalangan dengan motosikal mengorbankan suami isteri di Jalan Teluk Intan-Sitiawan di Teluk Intan, hari ini. FOTO ihsan bomba.
KERETA Perodua Alza yang terbabit dalam kemalangan dengan motosikal mengorbankan suami isteri di Jalan Teluk Intan-Sitiawan di Teluk Intan, hari ini. FOTO ihsan bomba.
Farah Suhaidah Othman


SUAMI isteri maut selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh kereta di Kilometer 47, Jalan Teluk Intan-Sitiawan, di Teluk Intan, hari ini.

Dalam kejadian 9.40 pagi itu, warga Indonesia, Mappa Sulle, 65, yang menunggang motosikal dan isterinya seorang warga tempatan, Maziah Baharuddin, 66, maut di lokasi kejadian.

Remaja perempuan berusia 19 tahun yang memandu kereta Perodua Alza dan bekerja sebagai jurujual pula cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian pemandu kereta itu dalam perjalanan dari Sitiawan menghala ke Teluk Intan.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta terbabit dipercayai terbabas sebelum memasuki ke laluan bertentangan.

“Kereta itu kemudian merempuh motosikal dinaiki kedua-dua mangsa yang berada di laluan bertentangan menyebabkan mereka tercampak dari motosikal.

“Akibat kemalangan itu, mangsa parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu Perodua Alza cedera ringan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Marzukhi berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Teluk Intan (HTI) untuk bedah siasat manakala remaja terbabit dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

Katanya, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Jun 2018 @ 6:24 PM