ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa dalam kejadian kereta terbabas dalam parit petang tadi. FOTO Ihsan JBPM.
ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa dalam kejadian kereta terbabas dalam parit petang tadi. FOTO Ihsan JBPM.
Muhamad Lokman Khairi


Teluk Intan: Seorang wanita maut setelah kereta yang dipandu tunangnya terbabas ke dalam parit di Jalan Chui Chak-Langkap, petang tadi.

Mangsa, Nurul Fatihah Ismail, 29, disahkan maut di tempat kejadian manakala pemandu, Zulhelmi Ibrahim, 30, dan seorang lagi penumpang wanita yang juga adik kepada pemandu berumur 28 tahun mengalami kecederaan.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian itu jam 6.30 petang tadi.

"Sisatan awal mendapati, kereta jenis Honda Civic yang dinaiki ketiga-tiga mangsa dalam perjalanan dari arah Kampung Ayer Hitam ke Langkap.

"Di lokasi kejadian, pemandu terlanggar lopak air ketika memotong kereta di hadapan mereka, lalu terbabas ke dalam parit berair di kiri jalan.

"Akibat kemalangan tersebut, seorang wanita yang duduk di sebelah pemandu meninggal dunia di tempat kejadian. Pemandu lelaki cedera ringan di kaki, manakala seorang lagi penumpang wanita yang duduk di bahagian belakang cedera parah di kepala," kata Mohd Yusri dalam kenyataan malam ini.

Menurut beliau, mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk menerima rawatan lanjut dan mangsa maut dibawa ke hospital sama bagi bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 6.28 petang sebelum terus bergegas ke tempat kejadian.

"Penumpang wanita yang berada di bahagian belakang dibawa keluar oleh orang ramai sebelum ketibaan pasukan bomba.

"Pemandu lelaki dan penumpang wanita di sebelahnya tidak tersepit. Namun, wanita berkenaan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 January 2023 @ 11:54 PM