LEE
LEE
BERNAMA

Putrajaya: Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V memperkenankan pelantikan enam anggota Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 1 November lalu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam satu kenyataan semalam berhubung pelantikan anggota suruhanjaya itu, berkata, Yang di-Pertuan Agong juga memperkenankan pelantikan Datuk A Aziz A Rahim sebagai Pengerusi EAIC.

“Pelantikan ini berdasarkan kelayakan dan pengalaman luas beliau dalam perkhidmatan awam dan perundangan negara,” katanya.

Antara jawatan penting yang pernah dipegang A Aziz ialah Pakar Penasihat Jabatan Peguam Negara (2016-2017), Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia (2012-2016), Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (2009-2012) dan Hakim Mahkamah Tinggi Sarawak (2004-2009).

Najib berkata, Yang di-Pertuan Agong turut memperkenankan pelantikan semula tiga anggota EAIC iaitu Datuk Dr Anis Yusal Yusoff, Lee Sow Siong dan Leong May Chan serta dua pesuruhjaya baru iaitu Datuk Sabariah Hassan dan James Deva Nayagam Gnanaratnam.

LEONG
LEONG

Beliau berkata, pelantikan enam anggota EAIC mengikut Subseksyen 5(1) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009.

Bagi pihak kerajaan, Perdana Menteri turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada bekas Pengerusi EAIC Datuk Yaacob Md Sam serta bekas pesuruhjaya iaitu Tan Sri Dr Zulkefli A Hassan, Datuk Seri Robert Jacob Ridu dan Vinayak Prabhakar Prabhakar yang melengkapkan perkhidmatan mereka di EAIC pada 14 Oktober lalu.

“Barisan mantan anggota suruhanjaya ini berjaya meningkatkan kredibiliti dan keberkesanan EAIC di mata rakyat. EAIC kini mula mendapat kepercayaan dan keyakinan yang kukuh daripada pelbagai pihak melalui siasatan suruhanjaya yang telus dan berkredibel,” kata Najib.

“Diharapkan kerjasama yang berterusan terus diberikan oleh agensi penguatkuasaan, badan bukan kerajaan khususnya orang ramai dalam membantu suruhanjaya ini melaksanakan fungsinya dengan efektif dan efisien,” katanya.

Najib dalam pada itu berharap pelantikan anggota suruhanjaya itu dapat memperkukuhkan lagi hala tuju EAIC dalam menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan yang cekap, telus dan adil, sekali gus memartabatkan integriti pegawai penguat kuasa dan agensi penguatkuasaan di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2017 @ 3:43 AM