Tengku Kamaruzzaman(kiri) bersama-sama anggota APM turun padang membantu mangsa banjir di Air Hitam Dalam, Tasek Gelugor. FOTO Zulfa Mohamad
Tengku Kamaruzzaman(kiri) bersama-sama anggota APM turun padang membantu mangsa banjir di Air Hitam Dalam, Tasek Gelugor. FOTO Zulfa Mohamad
Zulfa Mohamad


ADINDA Sultan Pahang, Tengku Datuk Seri Kamaruzzaman Al-Haj Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar (Tuanku Datuk Seri Intan) mencemar duli dengan turun padang membantu mangsa banjir di Air Hitam Dalam, Tasek Gelugor, hari ini.

Beliau bersama lebih 30 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) membantu membersihkan peralatan kenduri penduduk yang ditenggelami banjir minggu lalu.

Anggota APM terbabit dari Akademi Latihan Pertahanan Awam (ALPHA) selain dibantu anggota dari Pusat Latihan Pertahanan Awam Baling, Kedah dan APM Butterworth.

Tengku Kamaruzzaman yang juga Penaung Briged Kesenian APM berkata, kerja pembersihan di Air Hitam Dalam adalah siri kedua selepas siri pertama di Lubuk Meriam dan Lahar Yooi minggu lalu membabitkan 500 anggota APM.

Katanya, turut terbabit dalam siri kedua ialah beberapa pelakon dan penyanyi seperti Serina Datuk Redzuawan dan Joey BPR.

"APM bukan hanya bertugas menangkap ular atau menjalankan operasi menyelamat tetapi turut berperanan membantu mangsa banjir.

"Kami bukan saja membantu membersihkan peralatan tetapi turut menceriakan mangsa banjir," katanya.

Pembabitan beberapa pelakon atau penyanyi turut bertujuan mendekatkan APM dengan masyarakat sekali gus menggalakkan orang awam menyertai pasukan berkenaan.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Air Hitam Dalam Abdul Haris Ismail berkata, sebanyak 98 rumah di kampung berkenaan dinaiki air dalam kejadian banjir minggu lalu.

Katanya, kedudukan kampung yang agak rendah selain berhampiran Sungai Air Hitam turut menyebabkan air naik dengan cepat menyebabkan 80 peratus penduduk berpindah ke Pusat Penempatan Sementara di Nyior Sebatang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2017 @ 7:12 PM