DADAH yang dirampas polis. FOTO ihsan polis
DADAH yang dirampas polis. FOTO ihsan polis
Raja Noraina Raja Rahim


TIGA pengedar dadah ditahan polis dalam dua serbuan berasingan di Senawang dan Rahang, Seremban, sejak Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, serbuan pertama dilakukan 1 tengah hari Khamis lalu, selepas anggota melihat kereta dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan Taman Jasmin, Senawang.

Menurutnya, polis menghampiri kereta itu lalu menahan dua lelaki berusia 28 dan 39 tahun yang berada di dalam kereta berkenaan.

“Hasil pemeriksaan menemui 69 paket plastik lutsinar berisi heroin dianggarkan seberat 240 gram (g) dan sepaket methamphetamine berjumlah 12.5 g yang disembunyikan dalam kotak telefon bimbit.

“Kedua-dua suspek dan barang rampasan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, dalam serbuan kedua pula Thiew berkata, polis melakukan intipan terhadap Proton Perdana dinaiki lelaki yang berhenti di tepi jalan Taman Nyior Hijau, Rahang, pada 8.30 pagi Jumaat lalu.

“Menyedari diperhatikan, suspek memecut cuba melarikan diri sebelum keretanya terbabas di tepi jalan di Taman Bidara, Rahang.

“€œSuspek berusia 38 tahun itu berjaya ditahan dan pemeriksaan dalam beg dibawanya menemui empat paket plastik berisi heroin seberat 22g dan methamphetamine (9g).

“Turut ditemui alat penimbang digital dan telefon bimbit,” katanya.

Berikutan penahanan suspek itu, katanya, polis menyerbu bilik sewa suspek di Taman Ming Ho, Rahang, dan merampas enam paket heroin (105.19g) serta lima paket methamphetamine (7.3g).

Menurut Thiew, turut dirampas alat penimbang digital dan beberapa plastik lutsinar kosong yang disyaki digunakan untuk membungkus dadah.

Beliau berkata, semua suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B, 39A(1) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

FOTO ihsan polis

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2018 @ 3:11 PM