DR Ahmad Zahid pada Majlis Penyerahan Sumbangan Misi Bantuan Jabatan Sukarelawan Malaysia 2.0.
DR Ahmad Zahid pada Majlis Penyerahan Sumbangan Misi Bantuan Jabatan Sukarelawan Malaysia 2.0.
HM Digital

Putrajaya: Waspada dan bersiap siaga untuk gelombang kedua dan ketiga banjir.

Itu nasihat Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada mangsa banjir di seluruh negara kerana berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), akan ada gelombang kedua dan ketiga banjir.

Justeru, katanya, beliau mahu semua pihak bersiap siaga berdepan perkara itu dan pada masa sama mengetepikan perbezaan politik dalam menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir.

“Saya menasihatkan supaya semua pihak mematuhi arahan dan nasihat dikeluarkan MET Malaysia supaya pemindahan dapat dilakukan mengikut piawaian ditentukan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jawatankuasa Bencana Negara yang dipengerusikan saya sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, misi bantuan berterusan daripada jabatan dan agensi kerajaan ke negeri dilanda banjir membuktikan Kerajaan Persekutuan ‘buta warna’ dalam hal membantu rakyat.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, selain menterjemahkan komitmen kerajaan membantu mereka yang ditimpa musibah, bantuan itu sebenarnya dilakukan atas rasa kemanusiaan yang tinggi terhadap kesusahan orang lain.

“Saya ucapkan terima kasih kepada jabatan, agensi atau badan bukan kerajaan yang sentiasa prihatin dengan nasib masyarakat walaupun negeri yang dilanda musibah dipimpin parti politik yang berbeza daripada Kerajaan Pusat,” katanya.

Katanya, beliau juga kecewa dengan kenyataan segelintir pihak yang mempertikaikan kelambatan agihan bantuan diberikan Kerajaan Persekutuan kepada mangsa banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2017 @ 7:40 AM