Amir Abd Hamid


Gombak: Kementerian Pengangkutan sudah mengarahkan semua agensi di bawahnya melakukan persediaan kemungkinan berlakunya banjir gelombang kedua.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ir Wee Ka Siong berkata, ini termasuk bersedia menjadikan stesen pengangkutan awam sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) kepada mangsa.

Beliau berkata, beliau sudah mengarahkan semua agensi di kementerian supaya memantau dan memaklumkan situasi semasa dengan segera.

"Kita perlu sentiasa bersiap-siaga untuk memberikan perlindungan dan sebarang bantuan pada masa diperlukan.

"(sebagai contoh) Apabila dalam keadaan terdesak, kalau rakyat tiada tempat nak pergi, terpaksa lari ke stesen (perkhidmatan pengangkutan awam), jadi itulah tempat mangsa banjir berteduh.

"Itulah tempat yang kita sudi menerima mereka. Kita akan membuat atau mengatur untuk menjadikan stesen pengangkutan awam sebagai PPS, ini antara contohnya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengumumkan pengenalan pas perjalanan My50, di Stesen LRT Gombak, di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Mohd Azharuddin Mat Sah dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana (Operasi) Datin Hajah Norlia Noah.

Wee berkata, beliau sudah berbincang dengan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Isham Ishak pagi tadi supaya bersiap-siaga.

"Kita sedar gelombang kedua banjir mungkin berlaku pada bila-bila masa.

"Jadi kita kena buat persediaan awal termasuk agensi seperti Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Laut.

"Mangsa banjir juga tidak perlu tergesa-gesa untuk membuat penggantian dokumen yang rosak. Saya tak bagi mereka satu deadline (tempoh akhir) untuk buat (penggantian dokumen).

"Kemaskan rumah dahulu kemudian barulah uruskan penggantian dokumen seperti lesen memandu atau lesen kenderaan," katanya.

Beliau berkata, lazimnya apabila banjir orang akan mencari tempat paling tinggi.

Katanya, struktur bangunan stesen LRT biasanya dibina tinggi.

WEE Ka Siong. FOTO Rohanis Shukri.
WEE Ka Siong. FOTO Rohanis Shukri.

"Mangsa akan cari tempat itu yang tidak ditenggelami air banjir.

"Jadi secara praktikal mereka akan ke sana. Pada mulanya mereka berada di luar premis, apabila pihak Ketua Operasi Stesen mendapati ada mangsa banjir minta tolong, kita bantu hinggakan bilik gerakan kita iaitu bilik digunakan secara khusus dalam stesen LRT juga kita buka untuk menempatkan mangsa banjir.

"Itu yang kita lakukan kepada 54 mangsa banjir pada 18 Disember dan 19 Disember lalu di Stesen LRT Putra Height," katanya.

Apabila keadaan sudah tenang, katanya, mangsa banjir boleh kembali ke tempat masing-masing.

"Sepanjang waktu mangsa banjir berada di tempat kita, kita sediakan makanan serta memberikan perkhidmatan sebaik mungkin termasuk menyediakan paramedik serta pertolongan cemas," katanya.

Sementara itu ditanya jumlah kerugian selepas banjir baru-baru ini yang turut membabitkan perkhidmatan pengangkutan awam, katanya, perkara itu masih belum ada perinciannya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Disember 2021 @ 4:11 PM