KAMARUL Zaman (kiri) melihat antara bot yang disediakan bagi menghadapi kemungkinan banjir. FOTO Mary Victoria Dass
KAMARUL Zaman (kiri) melihat antara bot yang disediakan bagi menghadapi kemungkinan banjir. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Polis Johor mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dan mematuhi arahan pihak berkuasa berkaitan bencana banjir.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, ia bertujuan mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku sekiranya bencana berkenaan berulang.

Beliau berkata, semua agensi dalam keadaan bersiap siaga bagi bertindak sekiranya berlakunya banjir dan bagi membantu mangsa terbabit.

"Saya menasihatkan orang ramai sentiasa mematuhi dan mendapatkan maklumat jabatan kaji cuaca, polis bersama agensi lain bersiap sedia untuk beri bantuan.

"Semalam, beberapa kawasan di negeri ini turut dilanda banjir termasuk Gelang Patah, Johor Bahru dan Pontian, oleh itu persiapan adalah amat penting bagi menghadapi kemungkinan banjir.

"Sebanyak 15 bot polis dan beberapa aset serta jentera lain disediakan untuk membantu agensi lain dalam menghadapi bencana alam terbabit," katanya di sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 September 2022 @ 12:29 PM