YDP Sekolah Menengah Kebangsaan Permai Indah, Wahid Othman (kanan) dan Guru, Ghazali Abu Bakar (dua dari kanan) memantau memantau 47 orang mangsa banjir calon SPM yang menginap sementara di sekolah terbabit berikutan rumah mereka yang tenggelam akibat banjir di sekitar Bukit Mertajam. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
YDP Sekolah Menengah Kebangsaan Permai Indah, Wahid Othman (kanan) dan Guru, Ghazali Abu Bakar (dua dari kanan) memantau memantau 47 orang mangsa banjir calon SPM yang menginap sementara di sekolah terbabit berikutan rumah mereka yang tenggelam akibat banjir di sekitar Bukit Mertajam. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
Muhammad Shalaby Shahbuddin


SERAMAI 47 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menginap sementara di surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permai Indah di Bukit Minyak, Bukit Mertajam selepas banjir menjejaskan hampir keseluruhan kediaman mereka di sekitar kawasan berkenaan sejak Ahad lalu.

Dalam usaha memastikan semua calon selesa dan tidak tercicir menduduki peperiksaan SPM sejak Isnin lalu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah terbabit menyediakan pengangkutan dan menyumbangkan makanan kepada semua calon yang terjejas banjir.

Yang Dipertua PIBG sekolah berkenaan Wahid Othman berkata, lori Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) digunakan untuk membawa semua calon ke sekolah terbabit yang diambil dari Masjid Bagan Nyiur dan surau Taman Delima di Juru pada 8 malam, Ahad lalu.

Beliau berkata, pihaknya mengambil langkah awal dengan menempatkan 79 calon yang mana lelaki ditempatkan di surau sekolah, manakala perempuan diletakkan di bilik khas bagi memberi keselesaan untuk menghadapi peperiksaan, keesokan harinya.

"Hari ini, hanya tinggal 47 pelajar masih bermalam di surau ini apabila sebahagian daripadanya sudah pulang ke rumah masing-masing selepas air mulai surut.

"Selain menyediakan pengangkutan, PIBG turut menyalurkan sumbangan buat calon terbabit dan mendapat kerjasama beberapa guru yang turut bermalam di situ," katanya.

Wahid berkata, golongan ibu bapa tidak perlu risau berikutan semua anak mereka itu mendapat penginapan dan kemudahan selesa selain bantuan makanan mencukupi.

Beliau berkata, pihaknya menyalurkan sumbangan makanan tiga kali sehari yang dimasak guru di kantin.

"Ramai ibu bapa berpuas hati dengan tindakan cepat diambil pihak PIBG dalam menyusun atur kemudahan pengangkutan dan penginapan buat anak mereka untuk menduduki SPM dengan selesa.

"Malah tanpa kerjasama guru, ibu bapa, sekolah serta Jabatan Pendidikan, kami tidak akan mampu menyelesaikan segala permasalahan yang timbul demi menjaga kebajikan pelajar selain kualiti pendidikan dapat dijaga dan dipertingkatkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2017 @ 6:55 PM