Kuala Lumpur: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Behrang 2020 di Tanjung Malim mengedarkan modul 'Ticket To Victory' kepada 104 pelajarnya sebagai persiapan mereka menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.
Melihat kepada usaha berkenaan, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan mengambil langkah proaktif dengan menyumbangkan dana kepada pihak sekolah untuk mencetak modul berkenaan bagi kegunaan murid yang bakal menduduki peperiksaan.
Yang Dipertua PIBG SMK Bandar Behrang 2020 Dr Ghazali Din berkata, pihaknya menyedari kepentingan latihan dalam membantu kefahaman murid dalam pelajaran.
"Sehubungan dengan itu, saya berharap murid yang menerima modul berkenaan dapat memanfaatkannya dengan sebaiknya membuat latihan selain mengikuti kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua guru yang mengorbankan masa dan tenaga dalam mengedarkan modul dengan harapan persiapan calon lebih mantap dalam menghadapi peperiksaan SPM," katanya.
Beliau berkata ketika hadir dalam mengedarkan modul kepada semua ibu bapa calon SPM 2021 secara pandu lalu, kelmarin.
Menurutnya, beliau berharap keputusan peperiksaan SPM 2021 sekolah berkenaan dapat mencatatkan peningkatan dan pelajar dapat menonjolkan personaliti yang hebat selepas tamat tingkatan lima.
Sementara itu, sesi mengedarkan modul berkenaan disempurnakan oleh Penolong Kanan Pentadbiran SMK Bandar Behrang 2020 Mohd Zainol Zakaria.
"Modul berbentuk latih tubi ini dengan format terkini SPM yang disediakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Perak.
"Ia mengandungi enam subjek iaitu Sains, Matematik, Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik Tambahan," katanya.