KEADAAN Honda Accord yang dinaiki lima penjenayah terbabas sebelum merempuh tembok longkang. FOTO Ihsan PDRM
KEADAAN Honda Accord yang dinaiki lima penjenayah terbabas sebelum merempuh tembok longkang. FOTO Ihsan PDRM
Amirul Aiman Hamsuddin


TIGA penjenayah bersenjatakan parang ditahan polis di Sungai Mas, Banting selepas melakukan samun di rumah di Sungai Pelik, Sepang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Azizan Tukiman @ A Rahman berkata, suspek turut melarikan kereta mangsa jenis Honda Accord hitam dalam kejadian berlaku 9 pagi tadi.

Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian berkenaan dan kira-kira 11 pagi, Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat terserempak dengan kereta berkenaan di Sungai Mas yang dinaiki lima lelaki warga tempatan.

"Mereka diarahkan berhenti namun terus melarikan diri sebelum unit MPV mengejar kereta berkenaan.

"Bagaimanapun ketika tiba di satu lokasi, kereta suspek terbabas dan melanggar tembok longkang," katanya.

Azizan berkata, tiga suspek berjaya ditangkap manakala dua lagi melarikan diri.

"Pemeriksaan di dalam kenderaan itu menemui parang dan topeng yang dipercayai digunakan dalam kejadian samun itu.

"Suspek yang cedera dalam kemalangan itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2017 @ 4:47 PM