TIGA suspek dan barang yang dirampas daripada suspek yang menyamar sebagai anggota polis dalam kejadian samun di sebuah syarikat di Klang. FOTO Ihsan Polis
TIGA suspek dan barang yang dirampas daripada suspek yang menyamar sebagai anggota polis dalam kejadian samun di sebuah syarikat di Klang. FOTO Ihsan Polis
Siraj Mohd Zaini


KEGIATAN seorang anggota penguat kuasa yang menyamar sebagai polis tidak bertahan lama apabila dia diberkas bersama dua lagi rakannya di sebuah kedai makan di Kebun Baru, Telok Panglima Garang, di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Azizan Tukiman berkata, tangkapan dilakukan susulan kejadian samun di sebuah syarikat di Klang kelmarin.

Menurutnya, pengurus syarikat terbabit memaklumkan kejadian berlaku kira-kira jam 7.30 malam di mana sebuah kereta jenis Perodua Kancil dinaiki tiga lelaki menceroboh masuk ke dalam pejabatnya.

“Ketiga-tiga lelaki terbabit memperkenalkan diri sebagai anggota polis sebelum bertindak memeriksa pekerja syarikat terbabit.

“Mereka mengambil pasport dan telefon bimbit pekerja terbabit sebelum menahan dua pekerja membabitkan seorang warga tempatan dan seorang warga Myanmar lalu dibawa ke Bandar Sultan Sulaiman, Pelabuhan Klang,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Azizan berkata, suspek kemudian meminta sejumlah wang RM3,000 daripada pekerja terbabit, namun pekerja itu hanya dapat menyerahkan RM300 sahaja.

Beliau berkata, kedua-dua pekerja itu kemudian ditinggalkan di sebuah kawasan di Bukit Tinggi, Klang.

“Hasil risikan dan maklumat, sepasukan anggota polis yang diketuai Ketua Polis Balai Telok Panglima Garang berjaya mengesan tiga suspek terbabit di sebuah kedai makan di Telok Panglima Garang kira-kira jam 1 pagi.

“Sebuah Perodua Kancil dirampas dan pemeriksaan menjumpai pelbagai barang seperti sepasang baju uniform kastam, sebilah pisau, pelbagai pasport warga asing, kad kredit, wang tunai, telefon bimbit (12 unit) dan dadah seberat 18.38 gram,” katanya.

Katanya, ketiga-tiga suspek yang didapati positif dadah itu kini direman tujuh hari sehingga Sabtu dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

“Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti pembabitan suspek dalam jenayah ini. Kita percaya suspek terbabit dalam kes jenayah di beberapa daerah lain berdasarkan modus operandi dilakukannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2019 @ 3:15 PM