IHSAN Polis Diraja Malaysia
IHSAN Polis Diraja Malaysia
Fuad Hadinata Yaacob


PEMILIK bengkel lori terselamat dalam kejadian tembak di depan restoran di Banting, awal pagi ini.

Ketua Polis Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman, berkata kejadian pada 2.40 pagi.

Menurutnya, ketika itu mangsa, Tew Kim Chai, 60, mahu ke keretanya selepas minum bersama rakan di satu restoran di pekan Banting.

Beliau berkata, mangsa yang ketika itu mahu membuka pintu keretanya didatangi lelaki yang memakai penutup muka.

Katanya, suspek kemudian menarik mangsa ke keretanya yang diletakkan berhampiran dengan kenderaan mangsa.

“Mangsa cuba melawan namun suspek yang bersenjata melepaskan satu das tembakan ke jalan raya.

“Mendengar bunyi tembakan itu, beberapa kawan mangsa yang berada di restoran itu keluar ke arah mangsa. Keadaan itu menyebabkan suspek melarikan diri,” katanya.

Azizan berkata, siasatan awal mendapati mangsa tidak mengenali suspek dan punca kejadian masih dalam siasatan.

Menurutnya, mangsa tidak mengalami cedera dan usaha mengesan suspek giat dijalankan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2018 @ 12:52 PM