Abdul Halim (kanan) bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Datuk Suraya Yaacob (lima kanan), Pengerusi Lembaga Pelawat Rumah Seri Kenangan Bedong, Datuk Rokiah Hashim (empat kanan) dan Pengarah Kebajikan Masyarakat Kedah, Azmi Abd Karim (kiri) serta penerima anugerah pada Sambutan Hari Warga Emas dan Hari Orang Kurang Upaya Peringkat Negeri Kedah di Rumah Seri Kenangan, Bedong. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM

Syahid Sokri

KEGIGIHAN seorang bekas pengetua sekolah berbakti kepada masyarakat membolehkannya dinobat sebagai Ikon Warga Emas Cemerlang Negeri Kedah dalam Sambutan Hari Warga Emas dan Orang Kurang Upaya Kedah di Rumah Seri Kenangan, Bedong, Sungai Petani, hari ini.

Abdul Halim Ismail 71, dari Taman Melati, Pendang berkata, dia terharu apabila mendapat anugerah berkenaan kerana menyifatkannya terlalu besar buat dirinya.

Katanya, anugerah itu didedikasikan untuk keluarga dan masyarakat yang sentiasa menyokong kerjaya sukarelawan walaupun berada dalam lingkungan usia warga emas.

"Bagi saya, warga emas seharusnya kekal cergas dan mampu berdaya saing dalam usaha membentuk keperbadian anak muda kini melalui teladan yang ditunjukkan, ini kerana warga emas sebenarnya adalah tonggak masyarakat.

"Saya sedaya upaya membabitkan diri dalam aktiviti sosial terutamanya di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Pendang, dan Kelab Senaman Warga Emas Pendang bagi mengajak lebih ramai rakan menyertai aktiviti yang sihat ini," katanya ketika ditemui dalam sambutan itu.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembagunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Suraya Yaakob.

Menurut bapa kepada lima anak ini dia mahu sentiasa positif walaupun sudah lanjut usia, demi berbakti kepada masyarakat dan memberi galakan kepada orang ramai untuk bergiat aktif menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sedia ada.

"Saya hanya berharap usia ini bukanlah suatu masalah jika kita masih lagi mahu bersosial dengan cara sihat dan terus menyumbang kepada keluarga dan masyarakat.

"Saya mengambil konsep seperti mana di Jepun, rakyat di sana masih menikmati kehidupan tua mereka dengan berkawan, berkongsi pengalaman dengan generasi muda dan menjadikan mereka lebih bernilai di mata semua

"Sasaran inilah yang ingin saya kecapi dengan mewujudkan PAWE di Pendang, bagi mengelakkan warga emas bersendirian berada di rumah tanpa pengawasan anak dan menjadikan mereka hidup dalam emosi sendiri, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2017 @ 12:58 AM