ANTARA penghuni Pusat Jagaan Warga Emas Zakat Selangor Bait Al Mawaddah di Klang mengikuti kelas pengajian ketika di Program Zikra 'Jelajah Kasih Bersama Asnaf 2015' bulan ini. FOTO file NSTP Faiz Anuar
ANTARA penghuni Pusat Jagaan Warga Emas Zakat Selangor Bait Al Mawaddah di Klang mengikuti kelas pengajian ketika di Program Zikra 'Jelajah Kasih Bersama Asnaf 2015' bulan ini. FOTO file NSTP Faiz Anuar

Putrajaya: Jumlah warga emas menjadi penghuni di institusi milik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) seluruh negara menunjukkan penurunan sejak dua tahun lalu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, berkata, antara lain disebabkan masih terdapat kesedaran tanggungjawab terhadap ibu bapa dalam kalangan masyarakat.

Beliau menjelaskan, sehingga 31 Julai lalu, seramai 1,579 warga emas menetap di Rumah Seri Kenangan (RSK), berkurangan berbanding 1,623 orang pada 2014 dan 1,640 pada tahun sebelumnya.

“Masyarakat masih mempunyai rasa tanggungjawab kepada ibu bapa atau ahli keluarga yang berumur.

“Ia juga disokong oleh penyediaan perkhidmatan dalam komuniti seperti Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) yang kini berjumlah 45 unit di seluruh negara,” katanya kepada sempena Hari Warga Emas 2015 yang disambut setiap 1 Oktober dan tema sambutan tahun ini adalah #sayangkamu.

Rohani berkata, kementeriannya tidak bercadang untuk menambah bilangan RSK yang kini berjumlah sembilan unit di seluruh negara kerana jumlah itu mencukupi.

Beliau berkata, pihaknya juga aktif untuk menempatkan warga emas kembali dalam komuniti menerusi pelbagai program sokongan sosial yang dilaksanakan seperti PAWE dan Homehelp.

PAWE adalah khidmat bercorak pendampingan sosial dan pembangunan kepada warga emas membabitkan kerjasama strategik antara kementerian dengan pelbagai agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sehingga Jun lalu, 27,287 warga emas berdaftar dengan PAWE.

Homehelp pula adalah usaha kerajaan meningkat kesejahteraan hidup masyarakat khususnya dalam kalangan golongan mudah terasa dan terpinggir dengan membabitkan kumpulan sukarelawan.

“Nilai-nilai keluarga adalah sistem sokongan terbaik untuk warga emas, biarlah penempatan golongan yang memerlukan perlindungan ini di institusi JKM sebagai langkah terakhir,” katanya.

Rohani berkata, sehingga akhir tahun lalu, terdapat 2.7 juta warga emas di seluruh negara atau 8.8 peratus daripada 30.1 juta rakyat Malaysia.

Mengenai tema sambutan tahun ini #sayangkamu, Rohani berkata, pemilihannya bagi membuktikan bahawa golongan warga emas sentiasa mendapat tempat bukan sahaja di hati kerajaan, malah seluruh masyarakat. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2015 @ 10:14 PM